SUMBANGAN OZEL RINGANKAN BEBAN KEWANGAN PESAKIT KURANG BERKEMAMPUAN
KUBANG KERIAN, 28 Disember 2016 - Ozel Jewellery (M) Sdn. Bhd melaksanakan tanggungjawab sosial syarikatnya dengan menyampaikan sumbangan cek bernilai RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak (PEKA) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan hamper kepada pesakit di Wad Kanak-kanak di sini hari ini.
Penyelaras Program Anak Angkat Kanser dan Penyakit Kronik PEKA yang juga Pensyarah Perubatan, Jabatan Pediatrik, HUSM, Profesor Madya Dr. Ariffin Nasir berkata, 80 hingga 90 peratus pesakit di Kelantan yang menghidap penyakit kanser tergolong daripada keluarga yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk menampung perbelanjaan kos rawatan.
“Sumbangan yang diberikan ini diharap dapat membantu meringankan beban atau derita yang ditanggung oleh pesakit dan penjaga mereka kerana bukan mudah untuk mereka menerima hakikat bahawa anak sekecil ini menghidap penyakit kronik.
“Sumbangan dan lawatan ini juga dapat menyuntik motivasi, kegembiraan dan meningkatkan semangat pesakit yang berusaha untuk kembali sembuh seperti sediakala,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Cek kepada PEKA.
Sementara itu, Pengarah Ozel Jewellery (M) Sdn. Bhd, Peter Chew Tek Ping pula berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada HUSM kerana memberi peluang untuk mereka mendekati pesakit selain berkongsi cerita untuk memberikan kegembiraan pada wajah mereka.
“Aktiviti ini juga dapat memberikan kesedaran dan pendedahan kepada kakitangan Ozel supaya lebih prihatin untuk menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak pesakit kanser.
“Kadang-kadang kita terlepas pandang terhadap pesakit kanser kanak-kanak dan tidak ramai tahu sebenarnya mereka sangat memerlukan bantuan bukan sahaja dalam bentuk kewangan malah sokongan dan motivasi untuk melawan penyakit itu,” ujarnya.
Turut hadir sama di majlis tersebut adalah Penolong Pengarah Kanan Kejururawatan HUSM, Raudzah Haji Mohamed Ariffin dan Penolong Pengarah Kejururawatan HUSM, Rusnah Yaso’.
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 1266