NAIB CANSELOR USM DILANTIK SEBAGAI PRESIDEN ASM
PULAU PINANG, 28 Disember 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dilantik oleh Yang DiPertuan Agong XIV sebagai Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) yang kelima berkuatkuasa hari ini.
Hal ini diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Panglima Madius Tangau dalam satu kenyataan media.
"MOSTI akan meneruskan kerjasama rapat dengan ASM di bawah kepimpinan Profesor Datuk Dr. Asma Ismail," kata Menteri.
"Saya percaya pengalaman dalam bidang sains dan pengurusan bakat akan membawa kejayaan kepada ASM dan terus memposisikan ASM sebagai pemimpin bidang Sains, Kejuruteraan dan Teknologi," tambahnya.
Asma yang dilantik bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga Disember 2019 adalah bagi menggantikan Tan Sri Datuk Dr. Ir Ahmad Tajuddin Ali yang memegang jawatan tersebut sejak enam tahun lalu sehingga 27 Disember 2016.
Beliau mula dilantik sebagai Felo ASM pada tahun 2003 di atas segala sumbangan dan jasa beliau dalam bidang perubatan dan kemudian dilantik sebagai ahli majlis ASM bagi tempoh 2007-2011. Asma kemudian dilantik sebagai Timbalan Presiden pada tahun 2012 bagi tempoh empat tahun.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1231