USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR TIMBA ILMU SOSIAL SAMBIL MENYANTUNI GOLONGAN GELANDANGAN

IMG 20161223 170447


PULAU PINANG, 22 Disember 2016 – Sekumpulan pensyarah dan pelajar dari Kelab Perancangan dan Pengurusan Pembangunan (PPP) dan Sains Politik (KESPOL), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menyantuni golongan gelandangan di sekitar kawasan Masjid Kapitan dan KOMTAR, Pulau Pinang.

Program “Makanlah Sahabat dan Santuni Miskin Kota” ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada pelajar menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan dan melalui program ini juga, para pelajar akan dapat menunaikan tanggungjawab sosial terhadap golongan ini.

Selain memberi makanan dan peralatan kebersihan diri kepada golongan gelandangan, pelajar yang menyertai program ini juga telah mengumpul maklumat asas golongan gelandangan ini, dan ianya digunakan dan dikumpulkan dalam satu makalah berbentuk kajian kes.

IMG 20161223 170423

Menurut penasihat kelab PPP, PPSK, Dr. Suziana Mat Yasin, selain daripada menyantuni golongan gelandangan, program ini juga telah mendedahkan para pelajar mengenai praktikal kerja lapangan, terutamanya asas menemuramah responden dan program ini yang julung kali memerlukan pelajar mengumpul maklumat dan mengaplikasi ilmu yang telah dipelajari dalam kuliah.

Penasihat Kelab Kerja Sosial, PPSK, Dr. Paramjit Singh Jamir Singh pula menegaskan bahawa USM sebagai sebuah Universiti APEX sentiasa prihatin dan peka dengan isu-isu yang melanda masyarakat di negara kita seperti isu gelandangan.

Dr. Paramjit juga mengibaratkan golongan ini hanya 'berkatilkan' lantai dan 'bertilamkan' kotak, kerana rata-rata mereka tidak mempunyai kediaman dan punca yang menyebabkan golongan ini hidup sebegini perlu dikenal pasti agar intervensi yang relevan dapat diberikan kepada mereka.

Beliau juga menyatakan bahawa dengan adanya intervensi yang relevan ianya secara tidak langsung dapat memperkasakan golongan ini agar mereka dapat keluar dari kehidupan bergelandangan serta memperoleh kehidupan yang lebih baik dan masyarakat tidak seharusnya mendiskriminasi golongan ini, sebaliknya menzahirkan rasa empati dan prihatin ke atas mereka yang serba kekurangan ini.

Sementara itu, Pensyarah PPSK, Dr. Syazwani Drani menyimpulkan bahawa program berimpak tinggi seumpama ini memfokuskan kepada kumpulan minoriti iaitu golongan gelandangan.

Tambah beliau, program libatsama dan gabungan antara pensyarah dan pelajar dilihat sebagai satu wadah perintis kepada aplikasi kemahiran melihat, mendengar, menilai dan merumus serta kaedah berkomunikasi dengan golongan gelandangan ketika mendekati dan mendalami perihal kesulitan hidup mereka.

Bagi Dr. Parthiban S. Gopal pula, masalah gelandangan berpunca daripada ketidakseimbangan dalam pembangunan yang disebabkan oleh perancangan dan pengurusan pembangunan yang lebih berfokus kepada pembangunan fizikal sahaja.

Program ini merupakan kerjasama antara kelab PPP dan KESPOL yang melibatkan seramai 23 orang pelajar dari kelab PPP, 17 orang pelajar dari kelab KESPOL serta 4 orang pensyarah PPSK.

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1848

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024