USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ICH 2016 PLATFORM PELAJAR SISWAZAH KETENGAH KEPELBAGAIAN BIDANG ILMU KEMANUSIAAN KE PERINGKAT ANTARABANGSA

ikoikityu

USM, PULAU PINANG, 22 Disember 2016 - International Conference on Humanities (ICH 2016) yang buat julung kali penganjurannya dilihat mampu memberi gambaran terhadap keupayaan para pelajar siswazah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM) dalam melestarikan pelbagai cabang bidang ilmu kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.

Demikian jelas Dekan PPIK USM, Profesor Dr. Narimah Samat, ketika berucap merasmikan ICH 2016 di sini, hari ini.

DSC 8387

Menurutnya, persidangan ini mampu dilihat menjadi platform kepada pelajar siswazah mendapat pendedahan tentang penyelidikan-penyelidikan berkaitan isu-isu kelestarian yang mampu dikaitkan dalam bidang penyelidikan kesusasteraan dan ilmu kemanusiaan yang dibentangkan oleh para pembentang yang datang dari pelbagai latar belakang bidang dari dalam dan luar negara.

DSC 8391

"Para pelajar siswazah juga mampu menimba pengalaman dan pengetahuan melalui penganjuran yang dapat mengumpulkan para akademik seumpama ini," kata Narimah.

Tambahnya lagi, persidangan ini juga diadakan demi menyahut seruan Naib Canselor USM yang ingin mahu cabang penyelidikan sains dan sastera digabungkan demi kelestarian pada masa hadapan.

"Melalui persidangan seumpama inilah para siswazah berpeluang mendapat pendedahan menulis dan menghasilkan kertas kerja serta boleh mendapat ulasan oleh pensyarah yang mempunyai kepakaran bidang terlibat," jelasnya lagi.

DSC 8402

Sementara itu, ucap utama disampaikan oleh Profesor Kesusasteraan merangkap Ombudsman USM, Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar bertajuk 'Transforming Humanities for a Sustainable Tomorrow' yang mengupas tentang kepentingan bidang kesusasteraan di samping penambahbaikan yang perlu dijalankan oleh penyelidik dan pakar-pakar dalam bidang tersebut supaya pihak luar dan masyarakat melihat bidang ini relevan dan penting terhadap pembangunan negara.

"Para penyelidik dan pelajar khususnya dalam bidang pengajian bahasa perlulah menggunakan elemen-elemen lain seperti media baru dan menyelitkan juga kajian tentang kelestarian seiring realiti pada masa kini," tambahnya.

DSC 8396

Persidangan yang berlangsung selama dua hari ini turut disertai oleh para pembentang dari 14 buah negara seperti Indonesia, Rusia, Iran dan lain-lain lagi. Sebanyak 175 kertas kerja akan dibentangkan dalam persidangan tersebut.

ikko890

Yang hadir sama dalam majlis ini Timbalan-timbalan Dekan PPIK USM dan Pengarah Mobiliti dan Kerjaya, Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya (IMCC), Dr. Muhizam Mustafa.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1676

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024