PROGRAM KESIHATAN PERGIGIAN USM BANTU INDIVIDU BERKEPERLUAN KHAS
KEPALA BATAS, 13 Disember 2016 – Individu berkeperluan khas adalah mereka yang mengalami masalah seperti ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran, perkembangan lewat, sindrom down, autisme, hiperaktif, cerebral palsy dan lain-lain lagi yang memerlukan program khas untuk meningkatkan potensi diri dan terlibat dalam aktiviti sosial seperti berkawan, bermain dan bermasyarakat.
Menyedari tentang kepentingan kesihatan pergigian terhadap golongan ini, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Yayasan CIMB mengambil inisiatif mengadakan program kesihatan pergigian kepada pelatih berkeperluan khas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinar Harapan, Permatang Manggis, di sini hari ini.
Menurut Ketua Projek, Dr. Norehan Mokhtar, program ini bertujuan menimbulkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan pergigian kepada pelatih dan penjaga mereka.
“Program ini menekankan kepentingan peranan penjaga untuk menggalakkan pelatih membersihkan gigi. Bagi pelatih yang kurang upaya serta mengalami ketidakcekapan mental, peranan penjaga amat penting untuk membantu pelatih melakukan pembersihan gigi mereka,” katanya.
Beliau berharap agar program ini dapat meningkatkan kualiti hidup pelatih melalui penjagaan kesihatan mulut yang berkesan.
“Dengan pembersihan gigi mengikut panduan yang betul dan berterusan akan dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan mulut pelatih,” tambah Dr. Norehan yang juga Pengarah IPPT dan Pakar Perunding Ortodontik.
Beliau bersama-sama pakar pergigian lain melakukan pemeriksaan gigi dalam program berkenaan yang melibatkan 40 orang peserta.
Penyelia PDK Sinar Harian Noryani Abd Manap, menyambut baik program ini dan berharap program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.
“Banyak ilmu baru yang diperolehi daripada ceramah yang disampaikan dan sedikit sebanyak dapat membantu para petugas di sini untuk membantu pelatih yang mempunyai masalah kesihatan yang berkaitan dengan pergigian,” jelas beliau.
Selain itu, aktiviti lain yang turut diadakan ialah sesi demonstrasi penjagaan kesihatan mulut, aktiviti pemulihan cara kerja, pameran dan pemeriksaan kesihatan, persembahan video serta persembahan badut.
Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau "Community-Based Rehabilitation" (CBR) merupakan salah satu program latihan bagi orang kurang upaya (OKU) yang ditawarkan oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Program PDK ini ditawarkan kepada warganegara Malaysia bagi semua kategori orang kurang upaya yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tidak mengenakan sebarang had umur. Pihak kerajaan turut memberikan bayaran elaun kepada para pelatih yang mengikuti program bagi membantu meringankan beban pendapatan sepanjang latihan dijalankan.
Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto: Norizan Ishak
- Created on .
- Hits: 1888