USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH USM RUNGKAI MANFAAT DAN ANCAMAN MEDIA SOSIAL BERSAMA PELAJAR-PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DI PULAU PINANG

untitleddfghd

PULAU PINANG, 14 Disember 2016 – Sekumpulan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) telah merungkai manfaat dan ancaman media sosial bersama pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Pulau Pinang yang hadir menyertai program “Smart Thullab 2016” anjuran Pusat Islam USM baru-baru ini.

Keterdedahan generasi remaja khususnya pelajar sekolah menengah terhadap media sosial adalah suatu realiti baru yang memerlukan keterbukaan semua masyarakat untuk menerimanya. Walau bagaimanapun, kemajuan media sosial kini memerlukan keterbukaan yang terdidik agar penggunaan media sosial menjadi lebih efektif dan objektif dan lambakan pelbagai perisian memaksa golongan remaja ini memberontak serta membuatkan perasaan ingin tahu akan segala maklumat yang terhidang di media sosial.

Menurut Pensyarah PPTI, Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak, masyarakat terutamanya ibu bapa perlu sedar akan realiti baru dunia generasi Y yang amat mesra media sosial dan kefahaman ini amat penting untuk mewujudkan sikap keterbukaan yang rasional mengambil kira manfaat yang dinikmati golongan ini.

“Hanya dengan penggunaan media sosial yang terdidik, ia akan menjadikan media sosial sebagai sumber inspirasi kreatif dan inovatif generasi Y,” tegasnya.

untitledfghg

Sementara itu, pensyarah PPSK Dr. Paramjit Singh Jamir Singh pula menyimpulkan bahawa pelajar pada masa kini mendapat pelbagai manfaat menerusi media sosial seperti e-Learning dan menurut beliau, mata pelajaran Sains dan Matematik boleh diajar kepada pelajar dengan lebih berkesan dengan menggunakan medium e-Learning yang ditambah dengan animasi multimedia supaya dapat menarik minat pelajar untuk mengikuti mata pelajaran tersebut.

Bagi Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan yang juga dari PPSK, pelajar sekolah yang terlibat dalam program ini turut menyenaraikan puluhan manfaat yang diperoleh daripada media sosial dan pelajar sangat terkehadapan dalam menyenaraikan manfaat yang diperoleh dari media sosial, yang membuktikan bahawa mereka sangat arif akan perisian yang terdapat dalam media sosial serta memberi manfaat kepada mereka.

Bagi Dr. Hafiidz Jaafar dari PPTI yang bersama kumpulan pelajar telah merungkai ancaman daripada media sosial, iaitu penggunaan media sosial yang terlampau akan melalaikan mereka dalam aspek pelajaran serta ancaman keselamatan seperti ditipu dan diperdaya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1937

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024