BAJU SEKOLAH PROJECT@USM: 120 KELUARGA ASNAF TERIMA BANTUAN PERSEKOLAHAN
BALIK PULAU, 10 Disember 2016: Sejumlah 120 buah keluarga asnaf sekitar Balik Pulau hari ini dipilih bagi menerima sumbangan bantuan khas persekolahan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tahun 2017.
Program anjuran Majlis Tertinggi Sekretariat Sukarelawan USM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang ini berusaha menjejaki komuniti asnaf di Balik Pulau yang daif dan kekurangan dari segi kemudahan serta keperluan harian persekolahan.
Selain set barangan asas persekolahan, USM turut menyalurkan keperluan asas makanan seperti beras kepada semua keluarga terpilih.
Pada majlis penutup Sua Mesra Siswa Bersama Komuniti, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hj. Hilmi Hj. Yahaya berkata, program komuniti yang dilaksanakan oleh mahasiswa USM cukup bermakna buat masyarakat Balik Pulau di samping berupaya mendidik diri mendalami kepayahan yang dialami oleh golongan asnaf.
"Saya yakin USM mempunyai kredibiliti dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja pakar dalam bidang yang dipelajari, malah seimbang berjiwa masyarakat memperbaiki taraf hidup golongan terkebawah."
Jelasnya lagi, penglibatan 33 orang ahli Majlis Tertinggi Sekretariat Sukarelawan USM dalam menjalankan usaha murni ini sedikit sebanyak melatih mereka menjadi pemimpin buat masyarakat satu hari nanti.
"Saya ingin melihat mahasiswa USM menjadi holistik, sentiasa bersyukur dengan apa yang diberi, dan sentiasa turun padang memahami kesusahan masyarakat seterusnya berupaya menjadi pemimpin yang disegani" katanya.
Pada majlis yang sama, Pengarah Projek Baju Sekolah Project@USM, Amirul Izham berkata sejumlah RM13,000 berjaya dikutip sepanjang berlangsungnya kutipan amal bagi pembelian barangan persekolahan dan makanan asas buat keluarga ini.
"Kami memilih untuk membeli semua pakaian baharu dari memberi pakaian terpakai agar anak-anak ini gembira dan berkeyakinan mengharungi sesi persekolahan tahun hadapan."
Kata Amirul, usaha mahasiswa yang terlibat ini bukan sahaja ingin merasai kepayahan yang dirasai, malah mendidik menjadi insan yang bertanggungjawab dan relevan kepada masyarakat luar.
"Usah melihat jauh, cukuplah dengan masyarakat di sekeliling USM yang masih ramai memerlukan bantuan dari kita,” katanya.
USM sememangnya sinonim memperlihatkan impak dalam konteks kebajikan masyarakat, malah berusaha ke arah memperkasakan agenda kesukarelawanan dalam kalangan warga kampus secara lestari.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1470