DPP PERLU DITRANSFORMASI
USM, PULAU PINANG, 10 Disember 2016 - Setelah tujuh tahun penubuhannya, Dewan Perundingan Pelajar (DPP) seharusnya telah bertransformasi daripada membincangkan sebahagian besar isu kebajikan pelajar kepada wahana untuk membangun dan merealisasikan pemikiran besar anak-anak muda.
Demikian saranan Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ketika Majlis Perasmian Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Sidang Akademik 2016/2017 hari ini.
Teksnya dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein.
Menurut Naib Canselor, DPP mampu menjadi medan untuk mengupas isu-isu dan peranan pelajar sebagai pemimpin masa hadapan yang berfikiran glokal yang membangunkan kekuatan daripada ilmu yang bersifat global dengan jati diri lokal yang penuh dengan nilai universal dan menjunjung akal budi yang tinggi.
"Banyak juga yang perlu kita Un-Learn dan Re-Learn, sesetengahnya perlu kita Co-Learn dengan pelbagai pihak lain walaupun baharu melaksanakannya. Kita perlu Re-Learn bagaimana untuk membangunkan idea-idea dan pemikiran yang selari dengan keperluan masa hadapan dan perlu belajar tentang bagaimana untuk mendidik mereka di sekeliling kita untuk membawa usul-usul yang lebih mencerminkan kepada usaha pembangunan pelajar yang lestari, yang melihat dunianya melangkaui apa yang dilaluinya sekarang ini.
"Misalnya bagaimana untuk meningkatkan usaha membangunkan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (EfSD), bersama-sama menjadikan pelajar sebagai collaborator dalam merealisasikan peranan pendidikan tinggi dalam pembangunan sosio-ekonomi, menjadi sebahagian daripada enterprise innovation dan membangunkan social innovation, translating innovation to wealth and societal well-being dan pelbagai lagi yang menuntut kita untuk menggembleng tenaga dan fikiran bersama untuk memahami dan menjadikannya sebagai satu realiti," katanya.
Tambahnya, begitu juga untuk membangunkan pemikiran besar yang membawa semua keluar daripada lautan merah kepada lautan biru dalam usaha keusahawanan mahu pun kesukarelawanan serta bagaimana kita dapat memanfaatkan peruntukan besar yang diberikan okeh kerajaan sekitar RM10 juta untuk membantu pelajar memulakan usaha perniagaan.
Tambahnya lagi, usaha perlu dibuat untuk menjadikan kesukarelawanan lebih efisyen, terlatih dan bersiap siaga untuk membantu dalam pelbagai usaha masa hadapan menggunakan pelbagai disiplin ilmu di universiti serta bagaimana kesukarelawanan dapat ditransformasikan dalam konteks bakti siswa yang banyak dilakukan sejak tahun 70-an yang seharusnya kini lebih bersifat asimilasi dan perkembangan ilmu yang melibatkan universiti, pelajar dan komuniti daripada hanya memberikan khidmat bakti yang bersifat syok sendiri, menjadi anak angkat dan sebagainya.
"Ia perlu dibangunkan, dibentuk by design, not by chance, ia perlu dirancang, perlu difikirkan dan perlu kepimpinan untuk membolehkan DPP bukan sekadar menunggu dan melihat ratusan cadangan usul yang sukar diselesaikan dan tidak realistik.
"Kerana itu saya fikir, DPP perlu mengorak langkah untuk membangunkan kapasiti bakat yang berfikiran jauh dan matang iaitu bagaimana kita dapat menghimpunkan dan menterjemahkannya dalam bentuk yang sesuai dengan kedudukan kita sebagai sebuah universiti APEX.
"Frasa seperti the bottom billion dan Kelestarian Hari Esok kerap kita gunakan tanpa menterjemahkannya dalam pemikiran dan tindakan bersama dan sejauh mana para pelajar termasuk DPP dapat berbahas tentang usaha menswadaya atau empowerment pelajar dalam usaha-usaha yang dibuat, selain daripada menyerahkannya kepada universiti dan kerajaan untuk menyelesaikannya," jelas beliau.
Adnan juga memberitahu terdapat peluang dan bakat yang ada di sekeliling kita yang boleh dimanfaatkan termasuklah dalam hal-hal yang berkait rapat dengan usaha integrasi Sains dan Sastera atau STEAM yang telah pun kita lakukan selama ini yang perlu diperkasakan pada skala yang lebih besar serta bagaimana para pelajar dapat mendorong usaha penjenamaan dan peningkatan kualiti dalam pelbagai usaha yang dibuat termasuk Penyelidikan dan Inovasi malah bagaimana DPP dapat menjana pemikiran-pemikiran baharu dalam membantu universiti untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
"Semua pihak perlu melihat hal ini dengan serius dan sekali lagi saya tegaskan DPP perlu melakukan transformasi yang terancang by design dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa, bukan by chance seperti yang berlaku sekarang ini.
"Majlis Perwakilan Pelajar USM dengan bantuan HEPA perlu menggembleng pemikiran bersama untuk merealisasikan usaha ini dalam memastikan penambahbaikan berterusan dibuat terhadap DPP dan kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang dicapai setakat ini, sebaliknya melakukan usaha untuk meletakkan DPP sebagai satu jenama besar yang melahirkan pelajar HEBAT dan holistik," ujarnya.
Mengulas lanjut, MPPUSM tentunya boleh menjemput mereka dari luar untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dan mengukir kejayaan di luar negara seperti Wan Hazmer Wan Abdul Halim yang kita tahu terlibat dalam pembikinan Role Playing Game (RPG) Final Fantasy XV yang sangat popular di negara Jepun ataupun ilmuwan seperti Profesor Dr. Nik Soriani Yaacob dari Pusat Pengajian Sains Perubatan USM yang berusaha melakukan perubahan paradigma dalam Penyelidikan dan Inovasi secara menyeluruh yang memberi balance impact with impact factor yang melakukan asimilasi dan integrasi kepakarannya bersama penyelesaian menyeluruh yang lestari kepada isu sosial yang melibatkan pesakit cerebral palsy, melalui pendekatan realistik.
"Dengan mendengar sendiri usaha-usaha yang dibuat akan menjadikan pelajar lebih memahami dan merasai apa yang berlaku serta kemudiannya menjadikan inspirasi untuk keluar daripada pemikiran sedia ada dan sekaligus membolehkan para pelajar mengupas isu-isu yang lebih besar, turun padang dan menjadikan DPP sebagai medan perbincangan ilmu yang dapat memberikan faedah dan pengalaman baharu kepada ahli-ahlinya," katanya di akhir ucapan.
Bagi sidang akademik 2016/2017, ahli MPP untuk DPP terdiri daripada 45 orang masing-masing Induk 29, Kejuruteraan 8 dan Kesihatan 8. Selain itu ahli persatuan seramai 23 orang menjadikan jumlah keseluruhan 68 orang ahli dewan.
Sebanyak 10 usul dibahaskan pada hari ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1401