USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRO CANSELOR MINTA PELAJAR KOMUNIKASI JADI SURI TELADAN

EAM 4371

PULAU PINANG, 9 Disember 2016 – Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Mustafa Mansur menyeru agar pelajar-pelajar Komunikasi menjadi suri teladan atau role model kepada pelajar-pelajar lain dalam konteks kebolehpasaran mereka yang berupaya memenuhi keperluan masa hadapan, terutamanya dalam kerjaya global.

“Saya ingin menyeru para pelajar sekalian untuk menjadi contoh ikutan dan meletakkan satu tanda aras baharu kreativiti dan inovasi dalam semua bidang yang berkaitan kepada pelajar-pelajar komunikasi di pelbagai universiti lain dan dalam membina kerjaya masa hadapan.

EAM 4384

“Ini adalah cabaran besar yang mampu digalas dan direalisasikan oleh semua yang perlu menjadi lebih berani dalam mengemukakan idea-idea besar untuk menjenamakan diri sebagai yang terbaik dan bersedia untuk berada di mana sahaja di dunia ini dan tidak bataskan diri dan pemikiran yang ada,” kata beliau ketika merasmikan projek IMPACT anjuran Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM.

Tambahnya, sebagai orang muda, mereka perlu menerokai dunia ini sepenuhnya, berkarya, melahirkan idea kreatif dalam sinema baharu yang segar dan realistik, menjadi pemberita yang mempunyai ‘characteristic’ yang berbeza dan tersendiri serta mampu untuk melahirkan idea-idea bernas dan kreatif dalam menghantar mesej pemujukan awam yang berkesan.

EAM 4410

“Ini tentu sahaja satu cabaran besar, tetapi jika dilakukan dengan baik dan bersungguh-sungguh, dunia masa hadapan adalah milik saudara-saudari, dunia masa hadapan adalah terletak di tangan saudara-saudari yang meletakkan satu piawaian dan tanda aras baharu dalam dunia komunikasi yang mampu diterokai, terbuka luas untuk mereka yang berani dan bersedia mencabar diri,” tegas Mustafa.

Menurutnya lagi, hal ini juga boleh dicapai jika mereka bersedia menjadi seorang yang berbeza daripada orang lain dalam membangunkan masa hadapan yang sekaligus mengharumkan nama universiti dan negara.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) merangkap Pemangku Dekan PPK, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, program IMPACT ini adalah acara tahunan PPK sejak tahun 2007 yang bertujuan untuk menyediakan wadah kepada pelajar tahun akhir mempamerkan hasil produk dengan lebih efisien dan berimpak tinggi.

EAM 4414

“IMPACT pada tahun ini melebarkan jaringan antarabangsa melalui kerjasama dengan institusi dan badan profesional di ASEAN seperti Universitas Tarumanagara dan Asosiasi Pendidikan Tinggi Ilmu Komunikasi, Indonesia.

“Dengan tema Igniting Connectivity, IMPACT 2016 menyediakan tapak kepada pelajar untuk menjalinkan hubungan, berkongsi ilmu dan pengalaman bersama-sama dengan pelajar komunikasi dari institusi lain tempatan dan antarabangsa,” kata Adnan.

Immersion Project, Appreciation and Tribute, atau singkatannya IMPACT adalah satu program untuk mengetengahkan idea dan hasil kerja para pelajar komunikasi USM dalam ketiga-tiga bidang pengkhususan iaitu Kewartawanan, Pemujukan serta Filem dan Penyiaran bagi perkongisan umum.

EAM 4431

EAM 4415

Yang hadir sama ialah Penolong Naib Canselor Kecemerlangan Institusi, Bahagian Pembangunan Institusi (BPI) yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Che Mahmood; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Dato’ Dr. Chamil Wariya dan Dekan Fakulti Komunikasi dan Bisnes Universitas Telkom Bandung Indonesia Dr. Jafar Sembiring yang juga bertindak sebagai ahli panel forum yang bertajuk the Fourth Industrial Revolution: The Impact on Communication Education dan moderatornya adalah Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik dan Pembangunan Pelajar (CDAE) USM, Profesor Dr. Abd Karim Alias.

Teks: Mohamad Abdullah & Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1522

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024