USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-KLE PLATFORM UNTUK PELAJAR JADI PEMAIN GLOBAL (GLOBAL PLAYER)

 EAM 4337

PULAU PINANG, 9 Disember 2016 – Kampus pesisir Universiti Sains Malaysia (USM) di Belgaum India iaitu USM-Karnataka Lingayat Education (KLE) atau USM-KLE mampu dimanfaatkan oleh semua pelajar USM untuk menjadi pemain global atau Global Player.

Demikian kata Nik Muhammad Haziq Nik Mazlan, 22, pelajar tahun tiga kursus Doktor Perubatan yang juga Presiden Medical Society (MedSoc) di USM-KLE, India ketika sesi Apa Khabar USM-KLE? anjuran Majlis Perwakilan Pelajar USM di sini hari ini.

EAM 4340

“Tujuan kami ke sini adalah untuk memberitahu tentang kewujudan USM-KLE yang terletak di luar USM dan juga Malaysia namun boleh dimanfaatkan oleh semua pelajar USM sebagai platform untuk memainkan peranan sebagai pemain global seperti yang disarankan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ketika berkunjung ke sana bulan lalu,” tambah Nik Muhammad Hadziq yang juga ditemani empat orang rakan sekampusnya termasuk satu-satunya ahli MPP USM iaitu Muhamad Ridzuan Jamian, 20, pelajar tahun pertama yang berasal dari Johor Darul Takzim.

“USM-KLE mula mengambil kemasukan pelajar pada sidang 2010/2011 dengan kumpulan pertama seramai 44 orang telah bergraduasi pada Upacara Konvokesyen ke-52 tahun lalu,” kata Muhamad Ridzuan yang akan turut serta bersidang di Dewan Perundingan Pelajar (DPP) pada hari Sabtu ini.

EAM 4350

“Setelah tujuh tahun program ini dilaksanakan, USM-KLE sekarang mempunyai lebih 500 orang pelajar,” tambahnya.

Muhammad Syahir Mohamad Isa, pelajar tahun empat pula berkata pelajar di sana adalah sama dengan pelajar di Kampus Induk, Kampus Kesihatan dan Kampus  Kejuruteraan yang menjalankan pelbagai aktiviti di pelbagai peringkat termasuk aktiviti pelajar di kampus, menyertai aktiviti persatuan-persatuan tempatan di India serta aktiviti antarabangsa.

"Saya mengajak semua rakan-rakan pelajar USM di Malaysia untuk bersama kami menjalankan aktiviti sebagai sebuah keluarga serta melakukan program-program khidmat masyarakat seperti yang telah kami lakukan di tiga buah negara iaitu di Kemboja, Acheh Indonesia dan juga Bangkok, Thailand,” tambah Muhammad Syahir yang juga mantan Presiden MedSoc.

EAM 4357

"Fasiliti di USM-KLE adalah sangat lengkap termasuk makmal, kafe, perpustakaan, stadium, asrama dan juga sebuah hospital yang dikhaskan kepada pelajar USM-KLE untuk praktis klinikal dalam pembelajaran,” kata Najwa Syasya Athirah Abdul Razak, 21 yang berasal dari Kelantan.

Menurut Pengarah Projek Apa Khabar USM-KLE? Wan Muhammad Aslah Wan Razali, program ini adalah bagi meraikan pelajar USM-KLE sebagai keluarga besar USM serta menjelaskan dan berkongsi cara kehidupan pelajar di perantauan.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1363

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024