INOVASI USM BERI HARAPAN BARU KEPADA PESAKIT CEREBRAL PALSY
PASIR MAS, KELANTAN, 6 Disember 2016 – Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil masa setahun bekerjasama dengan pihak luar mencipta inovasi berbentuk papan luncur bagi tujuan memudahkan pergerakan pesakit Cerebral Palsy, Mohd Azmi Awang, 44 tahun.
Pensyarah Kanan Terapi Carakerja selaku Ketua Projek Transformasi Orang Kelainan Upaya (OKU) PPSK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, inovasi berbentuk papan luncur ini adalah yang pertama dari USM untuk memberi sinar baru dalam hidup Mohd Azmi.
“Mohd Azmi atau lebih dikenali dengan nama Paksu belum pernah merasai suasana di luar rumah kerana masalah kecacatan anggota badan dan dengan adanya alat ini pergerakan Paksu semakin mudah dan memberi peluang untuknya melihat tumbuh-tumbuhan serta menikmati udara segar.
“USM juga berterima kasih kepada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) kerana membawa pesakit ini kepada kami dan memberi bantuan dalam bentuk kewangan yang melibatkan kos alatan lebih daripada RM3,500.00,” katanya.
Menurut Mohd Zulkifli, orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang menghadapi masalah sama seperti ini diharap tampil ke USM untuk kami sama-sama mencari jalan penyelesaian untuk membantu mereka.
“Sekiranya mereka yang mempunyai masalah ini ialah kanak-kanak yang masih kecil, USM boleh membantu dari segi terapi untuk meningkatkan potensi berjalan atau sebagainya dan secara tidak langsung mengurangkan kecacatan yang dialami,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Jurutera Bebas, Mohammad Nizam Ismail pula, idea yang diilhamkan oleh Dr. Mohd Zulkifli amat sesuai dengan kecacatan yang dialami oleh Paksu dan saya amat berpuas hati dengan hasil yang diterjemahkan.
“Walaupun alat ini nampak ringkas, tetapi amat sukar untuk menciptanya dan memerlukan kepakaran yang sesuai untuk menghasilkan inovasi yang berkualiti tinggi dan bersesuaian kepada pesakit serta berguna kepada masyarakat amnya.
“Ini adalah ciptaan pertama saya hasil latihan dan pengalaman yang saya pelajari di Osaka, Jepun walaupun kepakaran utama saya lebih ke arah mesin,” katanya.
Teks & Foto: Muhd Zulkifli Zakaria
- Created on .
- Hits: 1856