KOLABORASI ISDEV-IRA TINGKATKAN KESEDARAN KELESTARIAN PEMBANGUNAN ISLAM
PULAU PINANG, 6 Disember 2016 –Universiti Sains Malaysia(USM) melalui Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) berkolaborasi dengan Islamic Relief Academy (IRA), Birmingham, United Kingdom menganjurkan The 11th ISDEV International Islamic Development Management Conference (IDMAC2016).
Menurut Pengarah ISDEV, Profesor Dr. Mohd Shukri Salleh kolaborasi kali pertama ini adalah lanjutan daripada penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangan pada bulan Oktober tahun lalu di Birmingham.
“Penganjuran IDMAC pada tahun ini masuk tahun kesebelas dan sebelum ini belum pernah bekerjasama dengan agensi atau jabatan lain dan Alhamdulillah tahun ini kami mengorak satu langkah ke hadapan dengan kolaborasi bersama IRA dan mereka juga ada menghantar wakil untuk persidangan tahun ini,” kata Mohd Shukri.
“Sebanyak 38 kertas kerja akan dibentangkan dalam persidangan kali ini dan prosiding dalam bentuk e-book juga telah dilancarkan dan dijual pada harga RM10,” tambah Mohd Shukri.
“Kolaborasi ini sangat penting kerana ISDEV terlibat dengan pembangunan Islam dan IRA dalam menjaga pembangunan kemanusiaan serta mampu untuk terus menjalankan penyelidikan secara bersama,” kata Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan, Dr. Wahabalbari Amir Ahmed yang juga alumni USM.
Pada majlis yang sama, tiga buah buku ISDEV telah dilancarkan iaitu Islamic Perspective on Sustainable Development, Pembangunan Lestari Islam: Teori dan Aplikasi serta Kelestarian Politik – Pembangunan Hotel Syariah di Indonesia.
IDMAC 2016 dihadiri lebih 150 peserta dari pelbagai Universiti Awam termasuk USM dan UUM.
- Created on .
- Hits: 939