PENDIDIKAN PENTING UNTUK HINDARI LGBT
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Disember 2016 - Anak-anak muda terutamanya remaja perlu didedahkan kepada pengetahuan seks pada peringkat awal dalam mengenali golongan ‘Lesbian’, ‘Gay’, ‘Bisexual’ dan ‘Transgender’ (LGBT).
Malah kesedaran terhadap hubungan seks yang sah melalui perkahwinan dapat mengawal masyarakat dari dosa dan noda serta dalam menghindari penyakit seksual seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV), Syphilis, Venereal Disease dan sebagainya.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Perubatan Keluarga, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Kuantan Pahang, Profesor Madya Dr. Samsul Deraman, 86% dari kalangan golongan ‘transgender’ atau ‘maknyah’ yang memperdagangkan diri merupakan penyumbang terbesar AIDS selain dari pelacur.
“Kegiatan seksual mengundang penyakit kelamin kerana mikroorganisme yang hidup pada lendir, cairan atau selaput kulit boleh menyebabkan penularan penyakit kelamin yang sangat cepat. Ini disebabkan kawasan kelamin memiliki sifat lembab sehingga sangat berpotensi untuk menjadi tempat tinggal pelbagai mikroorganisme.
“Cervicitis adalah penyakit yang menyebabkan keradangan pada bahagian mulut rahim atau bahagian serviks, ramai wanita tidak menyedari gejala penyakit ini sehingga berlaku pendarahan seperti period mensturasi,” katanya ketika mengendalikan slot ceramah bertajuk “Transgender Issues In Clinical Practice” sempena Forum ‘Basic Knowledge To Clinical Practice’ yang diadakan di Dewan Kuliah 4 Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan.
Samsul berkata, masalah ‘homoseksualiti’ diklasifikasikan sebagai penyakit mental yang kurang sedap didengar kerana golongan maknyah ini kebanyakannya adalah bangsa Melayu.
“Keadaan ini amat merisaukan banyak pihak kerana bangsa Melayu digambarkan beragama Islam, dan tidak seharusnya melakukan kegiatan seks songsang yang mengundang banyak masalah kepada masyarakat.
“Akhlak kurang mantap merupakan penyebab yang menpengaruhi golongan ini melakukan kegiatan yang tidak bermoral ini,” ujarnya lagi.
Tambah Samsul, semua pihak boleh mengambil bahagian dalam mencari pendekatan dengan cara yang betul bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
“Pendekatan terbaik yang perlu dilakukan ialah dengan menjemput golongan maknyah ini bersama masyarakat dan memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi masalah dan tugas kita ialah memberi sokongan moral dan didikan agama agar golongan ini tidak terus terpesong jauh.
“Dari segi ekonomi pula, golongan ini biasanya ada potensi yang besar untuk berdikari seperti pandai memasak, menjahit, dandanan rambut, jurusolek dan sebagainya, malah hasil kerja mereka lebih baik daripada wanita,” jelasnya.
Forum yang dianjurkan oleh Jabatan Perubatan Keluarga, PPSP USM dengan kerjasama Persatuan Perubatan Keluarga USM (FAMOUS) disertai oleh kira-kira 300 orang peserta.
Yang turut hadir dalam program ini ialah Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dan Ketua Unit Perkembangan Kesihatan Wanita Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Profeser Dr. Nik Hazlina Nik Hussain.
Teks / Foto: Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 1816