USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WIRA EMAS USM CIPTA SEJARAH DINOBAT OLAHRAGAWAN MASUM

hgv

PULAU PINANG, 4 April 2015 - Wira karate-do Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga atlet kebanggaan negara, Lim Chee Wei mencipta sejarah Universiti setelah dinobat sebagai Olahragawan Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (MASUM).

Pelajar tahun empat jurusan Sastera, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan yang baru-baru ini menyinar di Sukan Asia 2014 dengan menghadiahkan emas buat negara, mengungguli gelaran tersebut sempena Majlis Anugerah Sukan MASUM 2014 di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Johor hari ini.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, YB P. Kamalanathan dalam majlis yang gilang gemilang dan penuh bermakna.

Lim secara tidak langsung telah memecahkan rekod USM yang sejak ditubuhkan belum pernah mana-mana dari atletnya terpilih menerima anugerah tertinggi yang dinanti para atlet MASUM itu.

Lim ketika ditemui berkata, beliau sama sekali tidak menyangka kemenangan tersebut akhirnya berpihak kepadanya dan melahirkan keterujaan kerana turut memberi hadiah istimewa buat USM.

"Saya telah empat kali menghadiri Majlis Anugerah MASUM sejak 2011 dan juga telah beberapa kali tercalon sebagai finalis untuk kategori olahragawan.

9babfbb6279057178ad9a7b7a6457d0f

“Kemenangan ini bukan milik saya seorang namun untuk semua yang telah banyak menyokong dan menjadi penguat semangat dalam saya mengharungi pelbagai cabaran dan saingan dalam sukan ini,'' ujarnya.

Tambahnya, kemenangan itu secara khusus ditujukan buat USM yang disifatkan telah banyak membantunya dalam menaikkan prestasinya selain jurulatih, Lim Lee Lee dan Ku Jin Keat.

“Keluarga, sahabat, USM dan jurulatih dan pelbagai pihak telah banyak menyokong saya selama ini dan tanpa mereka saya tidak mungkin berjaya sehingga ke tahap ini,'' tambahnya.Tahun lalu, gelaran olahragawan dan olahragawati MASUM masing-masing telah dimenangi oleh pemain hoki kebangsaan (remaja), Mohd Fitri Saari dan ratu terjun negara, Pandalela Rinong.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang turut menghadiri Majlis Anugerah Sukan MASUM 2014 di UTHM melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Lim.

untitled 77

"Pencapaian ini amat membanggakan Universiti dan saya berhasrat lebih ramai atlet berbakat bakal lahir dan dapat dicungkil bakat dari pelbagai aktiviti sukan yang dianjurkan," tambah Omar.

Lim, atlet kelahiran Pulau Mutiara dan berusia 24 tahun telah memenangi pelbagai kejohanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, antaranya mendapat pingat gangsa dalam Kejohanan Asian Karate Federation (AKF) Championships di Uzbekistan pada 2013.

Selain itu, beliau yang mengkhusus dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris itu turut menggondol pingat emas dalam Asean University Games 2012 di Laos dan pingat emas dalam SEAKF Championships 2012 di Thailand.

Dalam pada itu, Anugerah MASUM turut menyaksikan 11 kategori dianugerahkan kepada para atlet dan penggerak sukan peringkat universiti termasuk bintang harapan lelaki dan wanita, pasukan terbaik lelaki & wanita, jurulatih terbaik, pengurus pasukan terbaik, tokoh sukan MASUM, sekalung budi, anugerah khas MASUM dan rakan sukan MASUM.

Teks: Mohamad Abdullah, Marziana Mohamed Alias & Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Profesor Dato' Dr. Omar Osman

  • Created on .
  • Hits: 1651

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024