USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IKHLASKAN DIRI, KERJA SECARA BERPASUKAN DAN JADIKAN KERJA SEBAGAI IBADAH – SHAIFUL

untitledgfhgf

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 November 2016 – “Saya mengharapkan semua staf bekerja secara berpasukan dan ikhlaskan diri mereka serta jadikan setiap amanah yang digalas ini sebagai ibadah agar Allah SWT permudahkan urusan kerja harian kita,” demikian kata Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) yang baharu, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Shaiful yang diberi mandat menerajui PPSP bermula 15 November lalu mengharapkan kerjasama semua pihak dalam memastikan PPSP mencapai objektif yang ditetapkan oleh pihak pengurusan tertinggi USM selaras dengan kehendak universiti.

“Pelantikan yang saya terima ini merupakan satu cabaran besar dalam mengekalkan momentum kecemerlangan pengurusan terdahulu di samping membuat perubahan untuk memastikan kecemerlangan itu terus ke hadapan dalam melahirkan graduan yang berkualiti.

“Matlamat saya adalah untuk melahirkan lebih ramai doktor dan pakar yang berkualiti berbanding universiti-universiti lain selaras dengan kehendak Naib Canselor USM yang mahukan 3R ‘Relevant, Referred & Respected’ pada peringkat global,” katanya dalam satu sesi temubual semalam.

Menurut Shaiful, beliau berterima kasih kepada universiti kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui PPSP dan amanah itu bukan hanya dari USM tetapi dari Allah SWT untuk beliau galas sebaik mungkin.

untitledmhmhj

“Saya berjanji akan memastikan staf akademik dan bukan akademik di bawah seliaan saya bekerja dalam suasana yang kondusif.

“Saya juga percaya saya mempunyai pasukan kerja yang sangat baik terdiri daripada timbalan-timbalan dekan yang berwibawa dalam bidang masing-masing dan peranan mereka ini sangat penting dalam membantu saya mengemudi serta memastikan perjalanan PPSP lancar,” jelasnya lagi.

Tambah Shaiful, walaupun universiti berdepan dengan kekangan perbelanjaan dari aspek kewangan, beliau percaya PPSP masih mampu melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dan meneruskan kecemerlangan universiti.

“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) yang diperkenalkan oleh kementerian telah menggariskan agar universiti lebih berdaya saing terutama dari segi penjanaan kewangan, jadi kita haruslah lebih kreatif dan inovatif untuk menjana pendapatan sendiri bagi memastikan program-program yang dirancang berjalan dengan lancar.

“Selain itu, saya juga yakin bahawa PPSP mampu menghasilkan lebih ramai graduan yang akan memberikan impak positif dan mewarnai masyarakat setempat di peringkat nasional dan global.

Shaiful turut mengharapkan agar semua staf bekerjasama antara satu sama lain membentuk satu pasukan yang mantap dan semoga segala ibadah tersebut mendapat balasan setimpal serta diberkati oleh Allah SWT.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/ Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood.

  • Created on .
  • Hits: 1787

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024