NRIC 2015: TARIK PENYERTAAN PELAJAR DI PERINGKAT ANTARANGSA
PULAU PINANG, 3 April 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini menyeru agar lebih ramai pelajar antarabangsa dari universiti luar negara mengambil bahagian dalam Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai Novel Research Innovation Competition (NRIC) 2015.
"Saya berharap NRIC 2015 ini berjaya menarik sebanyak mungkin projek-projek penyelidikan pelajar tahun akhir ijazah pertama dalam NRIC 2015 terutamanya dalam kalangan pelajar luar negara apatah lagi dalam kalangan universiti di negara-negara ASEAN,” kata Omar.
Dengan bertemakan 'Modernising Innovation Beyond Novelty Research', NRIC 2015 menjadi medan pertandingan penyelidikan yang memberi penekanan untuk menghasilkan dan mengembangkan penemuan baharu dalam bidang Sains dan Teknologi di samping seni dan sastera antarabangsa dengan mengutamakan golongan terkebawah selaras dengan matlamat USM.
Bercakap dalam sidang media sempena perasmian Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) 2015 di Dewan Utama Pelajar USM di sini, Omar berharap NRIC kali ini dapat menggalakkan lebih ramai pelajar membina peluang kerjaya mereka sendiri bersesuaian dengan saranan universiti yang amat menitikberatkan amalan kelestarian.
"Pelajar USM berupaya menguruskan pertandingan dan hasil-hasil inovasi yang boleh diketengahkan untuk menjadikan mereka dikenali, bukan hanya dalam kalangan pensyarah yang boleh mengambil mereka menjadi penyelidik pada masa hadapan tetapi juga dalam kalangan industri kerana pihak ini melihat pertandingan seperti NRIC sebagai proses untuk mengenal pasti bakat yang cemerlang dalam kalangan anak-anak muda ini," kata Naib Canselor.
NRIC 2015 yang memasuki tahun kesembilan diadakan adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) dan diuruskan sepenuhnya oleh pelajar. Pertandingan penyelidikan ini akan berlangsung pada 9 - 12 Ogos 2015 yang terbuka kepada pelajar tahun akhir ijazah pertama. Teks: Syuhada Abdul Aziz / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1391