USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM ‘BEYOUTIFUL 2016’ PLATFORM UNTUK GOLONGAN OKU TINGKAT KEYAKINAN DIRI

TIFUL12

USM, PULAU PINANG, 23 November 2016 – Program ‘BeYOUtiful 2016’ anjuran pelajar tahun akhir pelajar komunikasi pemujukan dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat mampu menjadi platform yang berkesan untuk memperkasakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein berkata, sebagai antara universiti pertama yang mengamalkan konsep “Blue Ocean Strategy”, USM berhasrat untuk melahirkan pemimpin dalam bidang akademik agar dapat menyumbang kepada komuniti dengan mengubah nasib golongan masyarakat keterbawah (B40) melalui penambahbaikan sosio-ekonomi mereka.

tiful45

“BeYOUtiful 2016 berupaya menarik perhatian pelajar USM dan beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak OKU dalam meningkatkan keyakinan dan keupayaan diri mereka,” katanya mewakili Naib Canselor USM semasa ucapan perasmian program ini malam tadi.

Harapannya, melalui program ini, segala ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh pelajar akan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian, sekaligus membentuk modal insan yang cemerlang dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.

IMG 1990

Sementara itu, Pengarah Projek BeYOUtiful 2016, Amberlicia Anthony Thane berkata, program ini dianjurkan dengan matlamat untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan belia bahawa setiap individu adalah unik tanpa mengira warna kulit, jantina dan status sosial.

“Program yang dianjurkan dengan kerjasama SIMA Handicapped Centre Berhad, Pulau Pinang ini juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dan seterusnya memperkasakan golongan kelainan upaya (OKU) dan belia,” tambahnya lagi.

Jelasnya, program ini telah berlangsung selama dua bulan, bermula Oktober hingga November 2016 di sekitar Pulau Pinang. Beberapa jerayawara (roadshow) telah dijalankan di sekitar USM dan Occupy Beach Street dalam mempromosikan BeYOUtiful 2016.

IMG 2028

IMG 2037

“Kemuncaknya, program ‘White Canvas Carnival’ iaitu persembahan daripada belia dan OKU yang mempersembahkan bakat mereka dalam bidang nyanyian dan bermain alat muzik antaranya pasangan adik beradik pelajar kelainan upaya cacat penglihatan Andrea Pui Jia Hui dan Felicia Pui Jia Yin, kedua-duanya pelajar tahun pertama USM mempersembahkan bakat mereka dalam bermain piano,” katanya.

Yang hadir sama dalam majlis ini, isteri Adnan, Datin Kamaliah Siarap; Pengarah SIMA Handicapped Centre Berhad Pulau Pinang, William Ch’ng; dan Timbalan-timbalan Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1043

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024