KEMBALI KEPADA RUKUN NEGARA
USM, PULAU PINANG, 26 November 2016 - Pengerusi Majlis Perundingan Muhibah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP), Tan Sri Dato' Seri Haji Mohd. Yussof Latiff menyeru untuk semua pihak kembali kepada Rukun Negara untuk memastikan perpaduan dan kemakmuran negara terus terpelihara.
"Hanya dengan kembali kepada Rukun Negara terutamanya menghormati keluhuran Perlembagaan, kita akan lebih bersatu padu dan dapat mengelakkan daripada bertelagah dan berpecah belah dan mengelakkan tragedi buruk akibat ungkit-mengungkit seperti yang pernah dilalui dalam sejarah negara.
"Malah masyarakat juga perlu memahami Dasar Pendidikan Kebangsaan, memahami Kontrak Sosial yang dipersetujui bersama dan menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, kita akan dapat mengelakkan daripada mengungkit hal-hal yang telah dipersetujui bersama selama ini untuk memastikan perpaduan masyarakat akan sentiasa terpelihara," kata beliau setelah selesai forum Perpaduan - Visi YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terhadap perpaduan dan kemakmuran negara di sini hari ini.
Forum tersebut dijayakan oleh Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Wan Saifulruddin Wan Jan, Pengerusi BERNAMA Dato' Seri Azman Ujang, kolumnis akhbar The Sun R. Nadeswaran yang dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam USM Mohamad Abdullah.
Menurut Wan Saifulruddin, isu perpaduan adalah sangat penting dan perlu dilihat dari pelbagai perspektif dan perlu dilaksanakan bukan hanya dalam kalangan pembuat dasar dan kerajaan, tetapi juga diterapkan oleh ibu bapa dan masyarakat. Malah menguruskan persepsi dan kepelbagaian yang ada.
"Kajian perlu dilakukan dengan lebih mendalam untuk melihat isu sebenar yang berlaku dan melihat bagaimana Tunku Abdul Rahman sebagai negarawan telah meletakkan asas dan pemikiran yang kukuh walau pun ada pihak yang mendakwa tiada dasar yang khusus dibuat pada masa itu," kata beliau.
Azman, seorang yang terlibat lebih 45 tahun dalam kewartawanan pula melihat bagaimana pentingnya mewujudkan satu bangsa Malaysia yang utuh melangkaui lain-lainnya yang perlukan iltizam yang tinggi untuk dilaksanakan oleh seluruh masyarakat dengan mencontohi Tunku Abdul Rahman putera raja yang melayan semua orang dengan baik dan keperibadiannya yang sangat dihormati sehingga memudahkan penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.
"Iltizam ini penting yang perlu dicontohi daripada kalangan masyarakat Sabah dan Sarawak yang lebih inklusif serta belajar dari negara seperti Singapura dalam menguruskan kepelbagaian dan kelainan termasuk budaya dalam membawa masyarakat dan negara maju ke hadapan," kata beliau.
Tambah beliau, pengalaman yang dilalui semasa pertelingkahan Plaza Low Yatt Kuala Lumpur yang bertukar kepada pergaduhan yang bermula dengan urusan jual beli perlu dijadikan iktibar terhadap rapuhnya perpaduan yang ada bagi mengelak daripada berlaku insiden lebih serius.
Sementara itu wartawan yang juga telah lebh 45 tahun dalam dunia kewartawanan R. Nadeswaran menganggap perpaduan hanya dapat berlaku jika persefahaman diwujudkan dengan kesungguhan serta dibuat dengan ikhlas.
"Kita boleh menjadi lebih bersatu padu apabila dapat mengurangkan perbezaan yang ada dan menghormati kepelbagaian budaya dan amalan dalam masyarakat.
"Kita melihat bagaimana Tunku Abdul Rahman telah menunjukkan contoh yang baik dengan mengambil berat mereka yang berada di sekelilingnya dan sentiasa melayani semua orang dengan baik dan bertoleransi," kata Nadeswaran.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1047