USM, LIPI BERKOLABORASI KAJI BIODIVERSITI TASIK MATANO, ANTARA TASIK TERDALAM DI DUNIA
USM, PULAU PINANG, 25 November 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) bersama-sama Pusat Penyelidikan Limnologi, Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) akan menjalinkan kerjasama dalam menjalankan kajian tentang biodiversiti serta ekosistem Tasik Matano di Kepulauan Sulawesi, Indonesia.
Tasik Matano yang merupakan antara 10 tasik yang terdalam di dunia ini mempunyai kedalaman sehingga 630 meter dan kajian telah bermula sejak tahun 2014 lagi untuk mengkaji kepelbagaian biologi tasik tersebut.
Penyelidikan yang diketuai oleh pensyarah yang berpengalaman dalam kajian tasik dan sungai dari PPSK, Profesor Dr. Mashhor Mansor akan dijalankan bersama-sama LIPI yang berpengalaman luas dalam bidang hidrologi.
Mashhor berkata, kajian tentang sistem tropikal tasik belum pernah dibuat oleh mana-mana pihak memandangkan kepakaran dan peralatan untuk kajian ini agak terhad.
“Terdapat banyak rahsia yang tersimpan di kedalaman 630 meter ke bawah dan kajian ini bakal menyumbang kepada maklumat-maklumat penting yang boleh dirujuk oleh masyarakat khususnya penyelidik di seluruh dunia,” tambahnya.
Tambahnya lagi, tasik ini dipilih kerana ia merupakan salah satu daripada 804 tasik semulajadi di Indonesia dan telah wujud sejak sejuta tahun yang lalu sehingga tasik ini mendapat gelaran ‘fossil water’.
“Kita pasti akan ada banyak data yang dapat dikumpulkan melalui hasil kajian ini dan akan mengambil tempoh yang lama kerana tasik ini mempunyai kejernihan air yang dapat dilihat sehingga sedalam 320 meter ke bawah,” jelasnya ketika ditemui sempena seminar “Biodiversity & Conservation of Asian River Basin & Lakes” di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, kepakaran dalam bidang ekologi dan ekosistem kepelbagaian biologi di negara ini dan Asia Tenggara setanding dengan mereka lain di dunia dalam menjalankan kajian seperti ini untuk membolehkan pengurusan tasik dan sungai dilakukan demi kelestarian dan kelangsungan masa hadapannya.
“Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) USM akan turut bekerjasama kali ini dalam meningkatkan sistem pengurusan air di Indonesia khususnya di Jakarta memandangkan ibu negara Indonesia itu kini merupakan salah satu bandaraya terbesar di dunia,” katanya.
Sementara itu, penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Limnologi LIPI, Dr. Luki Subehi berkata, kerjasama yang dijalankan bersama-sama USM ini dilihat mampu mengumpulkan data-data yang berguna untuk memahami ekosistem tasik ini secara menyeluruh.
“Kepakaran yang dimiliki oleh penyelidik-penyelidik daripada USM dan peralatan yang pihak LIPI miliki akan membolehkan kajian mengenai tasik ini dijalankan secara dalaman dan luaran supaya dapat mewujudkan satu sistem pengurusan tasik secara berkesan dan memastikan biodiversiti Tasik Matano terus terpelihara,” tambahnya lagi.
Yang hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Dekan Akademik, Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni PPSK, Profesor Madya Dr. Amir Hamzah Ahmad Ghazali.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1254