USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

350 ORANG ASLI TERLIBAT PROGRAM KESEDARAN KANSER MULUT USM

USM, PULAU PINANG, 24 November 2016 - Dijangka seramai 350 orang penduduk Orang Asli Suku Kaum Semai yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan dewasa akan terlibat dalam Program Kesedaran Kanser Mulut anjuran Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) dan dibiayai oleh dana dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM.

Program ini akan dijalankan di Perkampungan Orang Asli Kampung Leryar, Pos Menson, Cameron Highlands, Pahang pada hari Sabtu, 26 November 2016 bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 1.00 tengah hari.

Pemeriksaan mulut akan dibuat oleh pasukan pakar pergigian IPPT yang diketuai oleh Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar sebagai langkah pengesanan awal kanser mulut di samping ceramah dan demonstrasi penjagaan kesihatan mulut akan ditunjukkan bagi mendidik masyarakat Orang Asli ini mengutamakan amalan cara hidup sihat dalam kehidupan seharian. 

Yang turut diadakan ialah pameran mengenai kanser mulut dan rawatannya, saringan kesihatan mulut, demonstrasi cara membasuh tangan yang betul serta pemeriksaan paras gula dalam darah dan tekanan darah.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 975

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024