MINGGU ANTARABANGSA KE-11 PROMOSI KEPELBAGAIAN DAN KEUNIKAN BUDAYA ANTARABANGSA
USM, PULAU PINANG, 22 November 2016 - Minggu Antarabangsa ke-11 Universiti Sains Malaysia (USM) tahun ini mempromosikan kepelbagaian budaya negara-negara serta keunikannya kepada warga USM.
Menurut Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM, Profesor Dr. Azman Samsudin, minggu antarabangsa ini merupakan acara tahunan dalam kalender aktiviti pelajar-pelajar antarabangsa USM yang mempamerkan kebudayaan negara-negara terlibat.
"Sebagai sebuah komuniti global, program sebegini penting dalam mempamerkan identiti kebangsaan serta mempromosikan budaya, permainan dan makanan negara-negara terlibat dan diharapkan ianya dapat memperkasakan keharmonian, perpaduan serta kerjasama antara negara terlibat," katanya ketika merasmikan Minggu Antarabangsa ke-11 hari ini.
Kemuncak Minggu Antarabangsa ke-11 kali ini adalah Malam Gala pada hari Khamis 24 November 2016 yang akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) yang menampilkan hampir 20 negara membuat persembahan kebudayaan negara masing-masing. Antaranya adalah negara Malaysia, Thailand, Denmark, Iraq, India, Iran, Nigeria, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan juga persembahan khas Kungfu oleh peserta.
Yang turut hadir ke majlis perasmian ini adalah Penasihat Postgraduate Student Association (PSA) USM Profesor Madya Dr. Anees Janee Ali@Hamid.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 896