AMBIL PELUANG JADI PEMIMPIN UNTUK BANTU SELESAI MASALAH BERSAMA
USM, PULAU PINANG, 20 November 2016 - Anak-anak muda di universiti perlu memanfaatkan masa dan peluang yang ada untuk mengasah bakat kepimpinan mereka.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPPUKM) Zainal Asnawi Asyraf, 23, berkata ini adalah masa untuk anak-anak muda menerokai bakat yang ada dan mengambil peluang mengetengahkan pelbagai isu yang berkaitan dengan kehidupan kampus untuk faedah bersama, bukannya hanya menyalahkan pihak lain.
"Ini adalah kesempatan terbaik untuk digunakan dan tidak membiarkan orang lain yang berbuat demikian sedangkan kita mempunyai peluang," kata pelajar tahun empat jurusan undang-undang tersebut.
Zainal Asnawi yang menjadikan ibu bapa dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sebagai idolanya itu mengupas panjang lebar tentang pentingnya pelajar bekerjasama dengan universiti untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi sebagai satu pasukan.
Sementara itu Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) Tan Kar Yap, 22, tujuan utamanya menjadi pemimpin pelajar ialah untuk mengembangkan bakat yang ada untuk mewujudkan dunia masa hadapan yang lebih baik.
"Kita perlu yakin untuk mewujudkan dunia masa hadapan yang sejahtera bersama-sama dan ingin melakukan sesuatu untuk mencapainya tanpa membataskan kemampuan yang ada walaupun mempunyai kekangan-kekangan tertentu," kata Kar Yap pelajar tahun ketiga Teknologi Pembinaan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM itu.
Tambah beliau, pemimpin pelajar seharusnya mampu menyediakan cadangan penyelesaian terhadap sesuatu masalah, bekerjasama dan menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik, tidak hanya tahu komplen serta tidak sekadar menjadi wira maya atau keyboard warrior.
Kira-kira 100 pelajar menghadiri acara anjuran MPPUSM yang dipengerusikan oleh calon ijazah tinggi dan pemimpin pelajar Haja Mydin Abdul Kuthoos yang turut berkongsi pahit maung berada di dalam kepimpinan pelajar dengan segala cabaran termasuk kejian oleh mereka yang tidak memahami usahanya.
Yang hadir ialah Naib Yang Dipertua MPPUSM selaku Pengarah Projek Mohd Uzair Ahmad dan beberapa orang wakil dari MPPUKM.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1060