MAHASISWA PEMANGKIN PEMBANGUNAN NEGARA
USM, PULAU PINANG, 19 November 2016 – Mahasiswa merupakan pemangkin kepada pembangunan negara dan aset penting sebagai penggerak generasi yang akan memimpin negara kelak.
Itulah harapan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal yang menggesa para mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa merebut peluang menerokai ilmu pengetahuan agar menjadi insan yang berintelektual, berketerampilan dan dihormati.
Jelas beliau, di samping menuntut ilmu di universiti, mahasiswa perlu mengambil peluang dengan menyeimbangkan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek mahupun sosial keseluruhannya.
“Mahasiswa adalah bakal pemimpin, oleh itu penglibatan dalam aktiviti kokurikulum beruniform boleh membantu anda menjadi seorang pemimpin yang berkaliber suatu hari nanti di samping mampu mengemudi kumpulan atau orang yang dipimpin dengan baik.”
Beliau berucap ketika merasmikan Perbarisan Pembukaan Latihan Badan Beruniform USM Sidang Akademik 2016/2017 hari ini di Padang Kawad, USM.
Yang turut hadir ke majlis adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, USM, Prof. Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman; Penyelaras Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan USM, Dr. Mohd Salman bin Abu Mansor dan pegawai-pegawai utama universiti.
Tambah Ahmad Shukri, selain melatih menjadi pemimpin yang berdedikasi, kokurikulum juga membantu seseorang mahasiswa itu mengenalpasti dan menyedari jika wujudnya masalah, dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Ini secara tidak langsung akan melahirkan generasi yang bukan sahaja dapat memimpin dengan baik tetapi juga berjasa dalam masyarakat dan negara,” katanya.
Menurut beliau lagi, kokurikulum juga memupuk dalam diri mahasiswa erti tulus dan ikhlas dalam memimpin dan menggalas tanggungjawab yang berat iaitu ‘amanah’.
Perbarisan Latihan Badan Beruniform USM kali ini memperlihatkan penyertaan seramai 240 peserta merangkumi 7 badan beruniform USM yang turut melakukan lintasan hormat serta sajian beberapa persembahan menarik.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1659