"MENITI REALITI INDUSTRI SENI" KUPAS BAKAL PELAPIS INDUSTRI SENI NEGARA DI MASA HADAPAN
USM, PULAU PINANG, 18 November 2016 - Wacana Seni "Meniti Realiti Industri Seni" yang berlangsung hari ini mengulas erti, kreativiti, dan hakikat tentang realiti yang berlaku kini dalam industri seni tanah air dan para generasi pelapis yang akan menempuh alam ini kelak.
Wacana ini dikendalikan (moderate) oleh komposer, penerbit, karyawan tamu terkenal Azmeer Abu Bakar, dan membariskan pelakon dan penyanyi Arja Lee, pengacara Agenda Awani Kamarul Bahrin Haron dan Juara Akademi Fantasia 2013 Faizul Sany.
Menurut Kamarul, kita sebagai manusia, usah takut untuk mempelajari benda yang salah kerana belajar dari melakukan kesilapan itu adalah suatu terapi yang penting untuk dipelajari.
"Bagi generasi Z kini, pelajarilah ilmu asas ketika di universiti untuk menghadapi masa hadapan yang cerah dan menyumbang kepada pembangunan negara serta jadi seorang yang aktif di kampus dan bina reputasi yang jitu kerana jenama USM yang dibawa oleh setiap pelajar USM adalah satu perkara yang bernilai yang perlu ditunjukkan kepada umum tentangnya," ujarnya.
Sementara itu, Arja Lee pula menceritakan dalam arus globalisasi era teknologi kini, artis seperti beliau sering terpalit dengan kontroversi dan baginya ini bukanlah satu perkara yang membuatkan beliau untuk kecewa akan tetapi sebagai satu anjakan untuk terus maju ke hadapan dan menyumbang kualiti yang terbaik kepada industri dan masyarakat.
"Jangan cepat melatah apabila berhadapan dengan perkara sebegini dan hadapinya dengan tenang dan dalam industri seni, kita perlulah mempunyai sifat merendah diri untuk terus maju," kata alumni USM ini.
Bagi Faizul pula, berkecimpung dalam bidang seni ini adalah unik bagi beliau kerana beliau berlatar belakang bidang sains sukan dan berubah ke bidang nyanyian merupakan suatu yang unik baginya.
"Selain itu, realiti dalam mengharungi bidang seni ini memerlukan kita mempunyai kekuatan dan bukannya kelemahan kerana di dalam industri ini kekuatan adalah asas yang penting untuk kelangsungan dalam industri dan untuk mencari kekuatan ini, kita perlu mempunyai pakar rujuk yang tepat," jelasnya.
150 orang hadir ke sesi selama 2 jam ini yang turut dihadiri oleh Dekan Pusat Pengajian Seni USM Prof. Madya Mohamad Omar Bidin.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Muhamad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 972