SAKIT TIDAK PATAH SEMANGAT ADIBAH UNTUK CEMERLANG UPSR
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 November 2016 – Ujian kesakitan yang ditempuhi sedikit pun tidak mematahkan semangat, Wan Adibah Farhani Wan Mazlan, 12, untuk meraih keputusan cemerlang memperoleh 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Anak kepada pasangan guru yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas dan disahkan menghidap penyakit Kanser Limfoma itu tidak menyangka yang usahanya selama ini membuahkan hasil dengan pencapaian membanggakan itu.
Menurut bapanya yang merupakan Penolong Kanan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Raja, Wan Mazlan Wan Hassan, 50, anaknya itu dimasukkan ke wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sehari sebelum menduduki UPSR dan dinasihatkan untuk menjawab peperiksaan dalam wad disebabkan masalah kesihatan yang dialami.
“Walaupun dalam keadaan sakit, Adibah berjaya menjawab peperiksaan dengan baik sekaligus membuktikan ujian kesakitan yang dialami sekarang ini tidak sedikit pun menghalang fokusnya dalam pelajaran.
“Syukur kepada Allah SWT atas kejayaan ini, moga Adibah terus cekal melawan penyakit yang dihidapi dan kembali sembuh untuk meneruskan pengajian di peringkat menengah selepas ini,” katanya.
Menurut Wan Mazlan lagi, anaknya itu tidak pernah mengabaikan pelajaran dan sentiasa berhubung dengan rakan-rakan dan guru-guru bagi memastikan dia tidak tertinggal dalam pelajaran.
"Adibah sentiasa bersemangat dalam mengulangkaji pelajaran walaupun dia sering tidak hadir ke sekolah disebabkan masalah kesihatan yang dialami selain dimasukkan ke hospital.
“Dia seorang anak yang baik, walaupun diuji dengan penyakit yang dihidapi, dia tetap tabah dan sentiasa berusaha untuk membuktikan yang dia juga mampu berjaya memperoleh keputusan cemerlang seperti anak-anak lain yang sihat di luar sana,” katanya lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Muhamad Zulkifli Zakaria
- Created on .
- Hits: 1238