PROJEK ‘BeYOUtiful 2016’ PUPUK KESEDARAN TENTANG KEUNIKAN SETIAP INDIVIDU
USM, PULAU PINANG, 15 November 2016 – Projek BeYOUtiful 2016 yang dijalankan oleh sekumpulan pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa setiap individu adalah unik tanpa mengira bangsa, jantina atau status sosial.
Penasihat program ini, Dr. Nurzali Ismail berkata, program ini merupakan projek tahun akhir pelajar Komunikasi Pemujukan yang dianjurkan bersama sebuah badan bukan kerajaan, SIMA Handicapped Centre, Pulau Pinang.
“Dengan adanya program seperti ini, ianya dapat meningkatkan keyakinan dan memperkasakan orang kelainan upaya (OKU) melalui aktiviti-aktiviti yang pelajar ini anjurkan,” jelasnya.
Tambahnya, aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung diharap dapat mencungkil bakat yang ada dalam diri setiap individu tersebut.
Selain daripada itu, program yang bermula dari 2 hingga 22 November ini turut diisikan dengan bengkel melukis dan menari serta 'Drum Circles' kepada golongan OKU ini.
“Kemuncak program ini akan diadakan pada 22 November ini dengan persembahan ‘White Canvas Carnival’ oleh golongan OKU yang akan mempersembahkan bakat-bakat terpendam mereka,” katanya yang ditemui selepas bengkel menari dan melukis untuk kanak-kanak dan belia daripada SIMA Handicapped Centre.
Sementara itu, Pengarah Projek BeYOUtiful 2016, Amberlicia Anthony Thane, 23, berkata pengalaman mengendalikan satu projek yang besar ini memberi makna kepadanya dalam menghadapi dunia kerjaya di masa hadapan sebagai tanggungjawab bersama untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik.
“Saya juga dapat memahami kehidupan golongan OKU ini untuk lebih menghargai apa yang ada dan berharap agar masyarakat peka terhadap kekurangan golongan ini dengan membantu mereka walaupun dengan usaha yang sedikit,” tambahnya.
Seramai 38 orang pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan terlibat dalam menjayakan program ini.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1774