USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADILAH SEORANG INSAN YANG BAIK AKHLAKNYA – MAFAUZY

untitleddfvf

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 November 2016 - Untuk menjadi seorang pemimpin yang baik, kita haruslah sentiasa ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dan diberikan.

Demikian kata mantan Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed yang menyeru semua supaya sentiasa bersikap baik kerana baik itu bukanlah kita yang menentukannya, tetapi kepada orang yang menilai diri kita ini dan juga Tuhan yang Maha Esa.

“Saya tidak sedih meninggalkan jawatan sebagai Pengarah Kampus, bagi saya itu hanyalah satu amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T dan saya sebagai khalifah, hanya menjalankan amanah tersebut untuk menjaga universiti dan kebajikan staf di bawah seliaan saya," katanya dalam Majlis Bingkisan Pengarah Kampus, di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM kelmarin.

Jelasnya, kita mesti berpegang pada falsafah ‘hidup untuk akhirat’, yang baginya kehidupan di dunia ini hanyalah pinjaman sementara sahaja, usahlah berpegang pada prinsip ‘Budaya Ketam’ yang sentiasa inginkan diri dianggap terbaik, sebaliknya jadilah seorang staf atau pemimpin yang sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik.

untitledfgfg

“Buanglah sifat dengki terhadap kelebihan yang dimiliki orang lain dan sikap bermusuhan sesama sendiri untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dan bersainglah secara sihat agar kita terus hidup dalam keadaan harmoni,” jelasnya.

Mafauzy turut berpesan kepada semua staf agar sentiasa menjaga nama baik organisasi dan memastikan USM sentiasa cemerlang di mata masyarakat kerana sebagai seorang pemimpin, amat besar tanggungjawabnya dalam memastikan kecemerlangan kepimpinan itu tercapai agar akademik dan penyelidikan akan turut sama seiring dengan pengurusan serta pentadbiran yang diterajui.

Akhir katanya, Mafauzy berharap penggantinya akan meneruskan legasi beliau dalam menerajui USM dengan sebaik mungkin bagi memastikan USM sentiasa kekal sebagai sebuah Universiti berstatus Apex yang sentiasa memimpin dan kehadapan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Naib Canselor/Pengarah Kampus Kesihatan/Pengarah Hospital USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim; Timbalan Pengarah Kanan Klinikal Hospital USM,  Dr. Nik Min Ahmad; Timbalan Pendaftar Kanan, Hj Yusoff Abdullah; Timbalan Pengarah Kanan Farmasi Hospital USM, Hj Zainol Abidin Hamid dan ketua-ketua jabatan Kampus Kesihatan USM.

Teks: Shazleen Hashim / Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri

  • Created on .
  • Hits: 1036

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024