USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJA MENTERJEMAH ADALAH SATU TANGGUNGJAWAB

sastera12

PULAU PINANG, 14 November 2016 - Melakukan terjemahan karya-karya besar sama ada dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris atau dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu adalah satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan oleh mereka yang berkemampuan berbuat demikian.

Menurut ahli akademik dan Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, pandangan dan perasaan inilah yang mendorongnya untuk terus berbuat demikian kerana melalui usaha-usaha ini kebijaksanaan bangsa dapat dibawa ke pentas dunia dengan sewajarnya.

sastera13

"Walaupun saya bukan seorang yang mempunyai latihan formal dengan teori terjemahan, namun dengan latar belakang bahasa yang kuat dan jiwa sebagai seorang sasterawan terutamanya dalam bidang puisi, maka saya sentiasa mendorong diri melakukan usaha ini," kata beliau ketika memberi syarahan tentang pengalamannya menterjemahkan buku Malaisie karyawan Perancis Henri Fauconnier di sini baru-baru ini.

Buku yang diterjemahkan dari karya asalnya sebagai Nurani Tanah Melayu ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Buku ini juga diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh Eric Sutton menggunakan judul The Soul of Malaya.

Menurut beliau, novel yang memenangi hadiah penting sastera Perancis Prix Goncourt pada tahun 1930 telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa namun agak aneh kerana novel autobiografi ini masih belum diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu yang menjadi bahasa penduduk Malaisie ini.

sastera14

"Sebagai penterjemah dan pengkaji sastera bandingan, saya agak rusuh kerana keadaan ini berlarutan selama 80 tahun di tengah-tengah Malaysia yang berbangga akan sasteranya dan kejayaan budayanya," kata Muhammad.

Tegasnya, karya ini penting kerana hasil penulisannya cukup baik, bermutu tinggi, canggih dan berani kerana jarang terdapat usaha yang agak menyeluruh begini untuk memahami budaya dan manusia yang sangat berbeza daripada budaya penulisnya.

"Pandangan penulis terhadap pantun yang digunakan dalam permulaan setiap bab buku ini juga tajam dan benar yang dapat dihayati hingga hari ini sebagai satu daripada kebijaksanaan orang-orang Melayu yang telah lama mendapat perhatian dunia," kata beliau.

 DSC7151

sastera16

Muhammad turut menasihatkan pelajar agar sentiasa berusaha dan bekerja keras dalam memahami sesuatu karya dan lebih baik lagi jika dapat menguasai bidang karya yang diterjemahkan, misalnya kemahiran menulis puisi sebelum membuat sesuatu usaha terjemahan.

Yang hadir sama ialah Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi  Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, pensyarah Profesor Madya Dr. Haslina Haroon dan Dr. Leelany Ayob.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1319

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024