HOSPITAL USM MASIH GUNAKAN KADAR PERKHIDMATAN LAMA
PULAU PINANG, 1 April 2015 - Hospital USM di Kampus Kesihatan Kelantan belum mengenakan caj perkhidmatan tambahan kepada pesakit walau pun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mula berkuatkuasa hari ini.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menjelaskan walau pun Hospital USM sebagai hospital pengajaran belum diberikan pengecualian GST, caj perkhidmatan yang dikenakan kepada pesakit masih sama tertakluk kepada sebarang perubahan dan arahan dari pihak-pihak yang berkaitan pada masa hadapan.
“Pada masa ini kita belum bercadang berbuat demikian dan berharap pengecualian akan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh pihak berkenaan dalam masa terdekat sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan,” kata Omar.
Hospital USM adalah hospital pengajaran yang menyediakan tempat untuk pelajar-pelajar ijazah pertama dan ijazah tinggi dalam bidang Sains Perubatan, Sains Pergigian dan Sains Kesihatan di samping kepakaran perubatan dan kesihatan yang dikongsi bersama dengan masyarakat setempat terutamanya di Pantai Timur.
Dalam pada itu, selaras dengan pelaksanaan GST, USM turut menyediakan kaunter khas oleh Jabatan Bendaharinya di Kampus Induk di Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan Kelantan.
“Kaunter ini akan memberi bantuan kepada semua pihak terutamanya dalam kampus berkaitan dengan perkara ini untuk memastikan hal ini berjalan lancar,” tambah Omar. – Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1629