GURU PERLU BERUBAH
PULAU PINANG, 14 November 2016 - Dalam memantapkan kurikulum dan pedagogi untuk mendepani pendidikan abad ke-21, guru perlu sentiasa berubah, melaksanakan tugas dari cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta mempunyai "world view" dan "world class thinking" yang jitu.
Demikian kata Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail berucap dalam Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2016 yang bertemakan ‘Guru Berkualiti Pencetus Pendidikan Bermutu’ di sini pagi ini.
Seminar ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM untuk Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam. Yang turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dato' Dr. Zakaria Kasa yang membentangkan ucap utama, Penasihat Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam Profesor Dato' Dr. Abdul Rashid Mohamed dan Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, Profesor Dr. Baharuddin Aris serta Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik dan Pembangunan Pelajar (CDAE) USM Profesor Dr. Abd. Karim Alias yang juga pembentang ucap utama.
Jelas beliau, berakar umbikan dasar dan amalan kepimpinan dan pengurusan pendidikan terkini, aspirasi negara terhadap guru yang berkualiti sebagai pencetus kepada pendidikan yang bermutu menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik.
"Ini juga menunjukkan bahawa dalam menjayakan agenda pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, guru adalah agen penting dalam memperteguh peradaban bangsa melalui pendidikan," kata Hairul Nizam.
Tegas beliau, menerusi transformasi pendidikan, peradaban bangsa boleh diperkukuhkan apabila guru melaksanakan peranan yang diamanahkan kepada mereka untuk menghasilkan modal insan yang berkemahiran lengkap dan menyeluruh, bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakar nasional dan berakal internasional.
Lebih 300 orang peserta mengambil bahagian dalam seminar dua hari ini yang melibatkan pembentangan dua ucap utama, 10 kertas institusi dan 170 kertas kerja.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1162