ALUMNI ASET PENTING UNIVERSITI
USM PULAU PINANG, 12 November 2016 – Alumni merupakan aset bagi sesebuah universiti dan Universiti Sains Malaysia (USM) sudah mengeluarkan sebanyak lebih dari 150,000 alumni sejak penubuhannya pada tahun 1969.
Demikian kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein ketika menyampaikan ucapan untuk majlis Jalinan Silaturahim Bekas Pelajar Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM tahun 1987-1991 yang berlangsung di Balai Media bangunan C10.
Menurut Adnan, generasi pelajar kini kurang pengetahuan mengenai sejarah pusat pengajian ini, sejarah ini perlu dihidupkan dengan para alumni generasi terdahulu datang dan bertemu serta beramah mesra dengan generasi kini agar kenangan dan nostalgia dapat disegarkan sepanjang zaman.
“Saya berharap hubungan antara para alumni yang hadir dan tidak hadir dapat terus terjalin dan saya berharap pada masa akan datang majlis sebegini dapat juga disertai oleh alumni dari kalangan pensyarah juga, bukan hanya semata-mata pelajar,” katanya yang merupakan Pemangku Dekan PPK.
Tambah Adnan, banyak perubahan dapat dilihat dari segi fizikal mahupun tenaga pengajar di pusat pengajian ini yang telah melahirkan ramai insan yang berjaya pada masa kini di lapangan yang diceburi masing-masing.
Sementara itu, Timbalan Dekan PPK, Dr. Nik Norma Nik Hasan pula melahirkan rasa kesyukuran kerana majlis ini tercapai hasratnya untuk dilaksanakan melalui bantuan dan emel yang diterima oleh Zakaria Basheer Ahmad Basheer.
“Peluang sebegini harus digunakan sebaik mungkin untuk merapatkan jalinan silaturahim antara alumni dan semoga di masa akan datang kita dapat kumpulkan lebih ramai lagi alumni dan program secara lebih besar dapat direncanakan,” jelasnya.
Seramai 50 alumni PPK tahun 1987-1991 bersama ahli keluarga hadir ke majlis ini.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 1361