USM RAIH TEMPAT KETIGA PERTANDINGAN MIID DULUX INTERIOR DESIGN STUDENTS SATURDAY
PULAU PINANG, 11 November 2016 - Pelajar tahun 3, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP), Afiq Aslam Abd Syukur bertuah apabila terpilih sebagai finalis untuk Pertandingan MIID DULUX Interior Design Students' Saturday seterusnya memenangi tempat ketiga bagi kategori Hospitality Design (Resort Design) baru-baru ini.
Menurut Afiq, kejayaan merekabentuk rekaan dalaman resort ini merupakan penyuntik semangat baginya untuk terus menyumbang kebolehannya untuk PPPBP dan USM dan tidak lupa kepada para pensyarah yang banyak memberi tunjuk ajar padanya.
Pertandingan tersebut telah disertai oleh 6 orang pelajar program Rekabentuk Dalaman Tahun 3 dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia.
Dekan PPPBP, Profesor Dr. Aldrin Abdullah mengucapkan tahniah dan penghargaan Afiq yang telah berusaha keras demi menjayakan kemenangan tempat ketiga dalam pertandingan ini.
"Semoga di masa akan datang, PPPBP akan terus maju dan cemerlang dengan kejayaan yang dicapai oleh para pelajar serta tenaga pengajarnya yang tidak pernah jemu untuk mengilap idea baru dan meningkatkan prestasi pusat pengajian ini," jelas lanjutnya.
Sebanyak 19 institusi pendidikan tinggi awam dan swasta bertanding dan pensyarah dari USM yang terlibat bersama pelajar-pelajar ini adalah Profesor Dr. Azizi Bahauddin, Profesor Dr. A. Ghafar Ahmad dan Dr. Safial Aqbar Zakaria.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : PPPBP
- Created on .
- Hits: 1258