KEMBALIKAN SEJARAH ASAL PULAU PINANG
USM, PULAU PINANG, 11 November 2016 – Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Yussof Latiff menyeru agar pengisian program George Town sebagai Tapak Warisan Dunia seharusnya melibatkan produk Melayu sebagai penduduk asal Pulau Pinang.
"Tidak banyak produk yang berkaitan dengan orang-orang Melayu Pulau Pinang sebagai penduduk asal negeri Pulau Pinang diketengahkan seolah-olah mereka tiada peranan di negeri ini ditambah pula dengan kurangnya penyertaan anak-anak muda kita dalam aktiviti yang berkaitan dengan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia yang diisytiharkan oleh UNESCO sejak tahun 2008," kata Mohd. Yussof.
Bercakap dalam Siri Syarahan CenPRIS - Dato' Jenaton di sini, beliau berkata kehadiran orang Melayu perlu ditonjolkan dan ini memerlukan peranan dan tanggungjawab pihak penganjur selain Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta golongan muda itu sendiri yang tampil untuk memperjuangkan produk Melayu di Pulau Pinang ini.
Syarahan ini dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama keluarga Dato’ Jenaton (K-Jenaton), Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang (PEWARISAN) dan Unit Sejarah Lisan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.
Menurut beliau lagi, orang-orang Melayu perlu faham tentang sejarahnya terutamanya bagaimana mereka merintis perjuangan menentang kemerdekaan dan memastikan nasib dan masa hadapan orang Melayu sentiasa terjaga.
"Penubuhan Persatuan Melayu Pulau Pinang atau PEMENANG adalah sebahagian daripada aspirasi itu yang menjadi antara pertubuhan terawal yang kini menghampiri usia 90 tahun pada tahun hadapan sebagai antara nadi perjuangan yang tidak berlandaskan politik termasuk dalam memperjuangkan tanah wakaf dan tanah simpanan Melayu di negeri ini," katanya kepada kira-kira 50 orang yang hadir dalam siri yang pertama kali diadakan itu.
Mohd. Yussof yang menjadi Presiden Pemenang sejak lebih 30 tahun lalu itu menyeru agar orang-orang Melayu bersatu dan kembali kepada usaha memperjuangkan maruah mereka secara bersama dalam arus pembangunan sekarang ini terutamanya kepada mereka yang memegang amanah dalam menjaga kelangsungan orang-orang Melayu.
Beliau turut menyentuh sejarah negara ini termasuk penjajahan Jepun dan Malayan Union serta bagaimana bermulanya pertubuhan siasah di negara ini yang memperjuangkan kemerdekaan dan nasib orang-orang Melayu.
"Kita mengharapkan kedatangan Jepun memberikan kehidupan yang lebih baik kepada orang-orang Melayu, malangnya mereka membawa kesengsaraan kepada kita sehinggakan kehidupan menjadi begitu sukar sehinggakan ada dalam kalangan penduduk yang terpaksa mencuri kain kapan mereka yang baharu dikebumikan untuk dijadikan pakaian," katanya.
Beliau turut mengupas keadaan sosial orang Melayu dan bagaimana pengaruh India, Arab malah Indonesia dalam kehidupan yang melahirkan istilah Jawi Peranakan atau Jawi Pekan hasil kahwin campur yang berlaku, termasuk juga pengaruh Islam terhadap masyarakat Melayu Pulau Pinang.
"Saya mengharapkan USM akan memainkan peranan dalam menerbitkan kajian dan penulisan yang tepat tentang sejarah negeri Pulau Pinang terutamanya yang berkait dengan peranan Melayu sebagai penduduk asal di sini dalam memastikan hal ini akan difahami dan masyarakat memahami sejarah sebenar yang ada," tegasnya lagi.
Sementara itu, pensyarah kunjungan CenPRIS, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican berharap siri syarahan ini akan diteruskan pada masa hadapan dalam berkongsi pengalaman sejarah lisan oleh ahli sejarah yang mengkaji tentang sejarah Pulau Pinang.
“Saya mempelawa serta mengalu-alukan pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam menjalankan kajian komprehensif dan menyediakan inventori berkenaan dalam memelihara dan memulihara sejarah Melayu di Pulau Pinang,” katanya.
Yang turut hadir dalam majlis ini Pengarah CenPRIS, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk serta beberapa orang ahli akademik seperti Profesor Dr. Omar Farouk Sheikh Ahmad, Profesor Dr. Mahani Musa, Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz, Profesor Emeritus Mohamed Ghouse Nasuruddin, Profesor Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid dan Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Suntingan: Mohamad Abdullah
Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1598