PROGRAM 'A DAY FOR HEAVEN KIDS' DEKATKAN WARGA USM BERSAMA KANAK-KANAK ISTIMEWA
PULAU PINANG, 11 November 2016 - Program A Day For Heaven Kids yang telah berlangsung baru-baru ini oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) berjaya mendidik dan melahirkan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang lebih seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani, emosi dan sosial.
Menurut Pengarah Projek, Mohamad Salman Ismail, program ini memberi peluang kepada warga USM untuk mengeratkan hubungan sosial bersama kanak-kanak istimewa ini, memberi ilmu dan maklumat kepada ibu bapa kanak-kanak ini disamping menghulurkan bantuan kepada mereka yang dianggap istimewa ini.
"Program ini juga berkonsepkan penglibatan sama antara universiti-komuniti melalui pengisian aktiviti yang direncanakan seperti senamrobik bersama kanak-kanak istimewa ini, pertandingan membuat kad hari kanak-kanak, dan aktiviti permainan sambil belajar," jelasnya.
Tambahnya, Program separuh hari ini juga diserikan dengan ceramah oleh Pensyarah PPIP, Dr. Aznan Che Ahmad bertajuk Kenali Kanak-Kanak Khas dan Penolong Kanan Pendidikan Khas, Che Fatimahsam Taib bertajuk Pengurusan Pendidikan Khas di Sekolah.
Program ini melibatkan 7 buah Sekolah Pendidikan Khas sekitar Pulau Pinang dan disertai oleh 51 murid pendidikan khas, 20 pasangan ibu bapa dan 18 guru.
Persatuan Ilmu Pendidikan USM pula menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada pelajar pendidikan khas Tahun 2 USM atas penganjuran program mega ini yang berjaya menggabungkan sekolah-sekolah pendidikan khas di Pulau Pinang.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Mohamad Salman Ismail
- Created on .
- Hits: 958