BAHASA JEPUN KETIGA POPULAR DI USM
USM, PULAU PINANG, 8 November 2016 – Jalinan kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan The Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL) sejak awal tahun 1980an telah menjadikan Bahasa Jepun ketiga popular dalam kalangan pelajar USM selepas Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed yang mewakili Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ketika berucap merasmikan Sakura Week 2016 anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) dengan sokongan JFKL di sini hari ini.
“Penganjuran Sakura Week 2016 ini juga adalah bukti kerjasama yang kuat antara dua institusi ke arah mempertingkatkan pembelajaran Bahasa Jepun kepada para pelajar USM,” tambah Abdul Rahman.
“USM adalah antara lima ahli JFKL Network dan kami menyediakan geran untuk setiap ahli menjalankan projek dalam pembangunan Bahasa Jepun dalam kalangan pelajar dan guru,” kata Pengarah JFKL, Koichi Horikawa.
“Kami mengambil peluang ini untuk memperkenalkan pelbagai program JFKL di samping program-program kerjasama dengan pelbagai jabatan di USM seperti ‘Japanese Studies Summer Institute Programme’ bersama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan yang juga sedang berlangsung di sini,” tambah Koichi.
Menurut Dekan PPBLT, Profesor Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi, tujuan penganjuran Sakura Week 2016 adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai dan pelajar mengenai bahasa dan budaya masyarakat Jepun di samping mengumpul para guru dan pelajar Bahasa Jepun di bawah satu bumbung bagi perkongsian idea dan pengalaman.
Antara pengisian program tiga hari ini adalah Pertandingan Karoake J-Pop, demonstrasi membuat sushi, origami dan kaligrafi serta bengkel tarian Yosakoi.
Turut hadir adalah Konsul-Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Kiyoshi Itoi, dan Konsul Kehormat Perancis dan Denmark.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1519