PENERBITAN DIGITAL DUNIA MASA HADAPAN
USM, PULAU PINANG, 7 November 2016 - Penerbitan digital mempunyai masa hadapan yang cerah untuk diterokai potensinya. Malah penerbitan sebegini, sama ada dalam bentuk buku elektronik mahu pun memanfaatkan internet sepenuhnya dengan keupayaan multi-medianya perlu dilihat sebagai pilihan yang berupaya mengubah masa hadapan.
Pensyarah Bahagian Pemasaran Pusat Pengajian Pengurusan Shahidan Shafie berkata, dengan jumlah besar penggunaan telefon pintar dan media sosial hari ini, usaha perlu dibuat untuk memanfaatnya sebaik mungkin dalam apa jua bidang.
"Kita melihat bagaimana syarikat-syarikat multi-nasional dunia mencari jalan dan membangunkan potensi pemasarannya yang besar untuk menguasai pasaran termasuk dalam kalangan generasi Z," katanya dalam pembentangannya bertajuk Pemasaran Digital dan Potensinya kepada Kesusasteraan.
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Media Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Dr. Siti Ezalella Mustafa berkata, penulis hari ini berkomunikasi terus dengan pembaca dan bakal pembaca karyanya melalui atas talian sekaligus memasarkan karyanya kepada mereka termasuk untuk mendapatkan pandangan dan undian malah juga bakal penyumbang untuk penerbitannya pada masa hadapan.
"Ini menjadi sebagai pengaruh sosial dalam menyokong sesebuah projek penulisan yang bersumberkan khalayaknya," katanya dalam pembentangan bertajuk Penglibatan Komuniti Pembaca Dalam Penghasilan Karya Dalam Era Digital.
Sementara itu, Pengerusi Persidangan Kebangsaan Proses Kreatif Digital dan Pemasaran Dalam Talian, Profesor Dato' Dr. Sohaimi Abdul Aziz berpendapat, usaha ini penting dalam memahami makna sebenar karya digital kerana potensinya yang menggabungkan kepelbagaian media yang tidak boleh didapati melalui karya naskhah penerbitan bukan digital.
"Penerbitan seperti ini berupaya menerokai kepelbagaian media yang ada misalnya dengan memasukkan kesan bunyi, visual dan sebagainya dalam menarik minat khalayak untuk memahami dan menghayati sesebuah karya," kata Sohaimi.
Dalam pembentangannya yang bertajuk Proses Kreatif Keterlibatan dan Pemasaran Internet: Mencipta dan Memasar Novel Popular, beliau menekankan kepada pentingnya memahami perbezaan di antara pemasaran dan penjualan serta bagaimana penerbitan sebegini ini berupaya menghasilkan karya popular di samping menggembleng idea dari pelbagai pihak secara bersama bagi menerbitkan sesuatu karya.
"Proses kreatif yang digunakan sesuai dengan hakikat novel popular yang berorientasikan pembaca yang berada dalam lingkungan komersialisme. Maka proses kreatif keterlibatan dan pemasaran internet merupakan dua proses dalam satu dalam perkembangan novel popular Melayu di era media digital," kata Sohaimi.
Sebanyak 15 pembentangan dalam persidangan sehari ini oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam penerbitan karya secara digital dan dalam talian yang berkongsi pengalaman dan kaedah yang dilakukan termasuk kajian-kajian tentang bagaimana penulis dan pengarang menghasilkan karya mereka mahu pun menubuhkan kelab peminat dalam melariskan jualan dan pemasaran hasil karya.
Persidangan ini dianjurkan oleh Bahagian Kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM bersama-sama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1702