ENAM JURNAL USM TERIMA TARAF CREAM
PULAU PINANG, 1 November 2016 – Enam jurnal terkemuka yang membariskan ketua-ketua editor dalam kalangan ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) dan diterbitkan oleh Penerbit USM terpilih menerima Taraf Penyelidikan Terkini di Malaysia (CREAM) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) setelah mempamerkan kecemerlangan tersendiri.
Mendahului senarai adalah Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society yang kali kedua berturut-turut tersenarai sejak taraf CREAM diperkenalkan, sebagai antara jurnal yang meneruskan kualiti terbilang dan diindeks ke Web of Science (WoS).
Dua jurnal yang turut tersenarai dalam kategori Scopus adalah Asian Academy of Management Journal of Accounting and Finance (AAMJAF) (Ketua Editor-Profesor Dato’ Dr. Ruhani Ali) dan International Journal of Asia-Pacific Studies (Ketua Editor- Profesor Dr. Ooi Keat Gin).
Tiga lagi jurnal yang tersenarai bagi kategori Potential Journal adalah Journal of Physical Science (Ketua Editor-Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad), Malaysian Journal of Medical Sciences (MJMS)(Ketua Editor-Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah) dan Journal of Construction in Developing Countries (Ketua Editor - Profesor Sr. Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz).
Ketua Editor Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society , Profesor Dato’ Dr. Rosihan M. Ali berkata, pihaknya teruja dengan penganugerahan tersebut dan berharap dapat meneruskan kesinambungan pencapaian yang hebat itu sejak mula mengambil alih jurnal berkenaan pada tahun 1998.
“Banyak pencapaian yang telah diterima di pelbagai peringkat sepanjang proses melonjakkan buletin ini dan sudah semestinya penghargaan ditujukan buat USM, Penerbit USM dan Pusat Pengajian Sains Matematik yang banyak menyokong dalam penerbitan ini yang dimulai dari bawah.
“Untuk memastikan jurnal ini layak diindeks ke WoS, pelbagai kriteria dan penilaian yang ketat perlu dilepasi dan nyata dengan komitmen semua pihak percubaan pertama untuk melayakkan diri diindeks ke ISI berjaya dan kita mencipta rekod sebagai jurnal keempat dalam negara yang berjaya diindeks,” katanya.
Dalam pada itu, Ruhani pula menegaskan jurnal yang diketuainya sejak 2005 tersebut sedang berkembang secara konsisten dan juga telah diindeks dalam Emerging Sources Citation Index (ESCI) sebagai antara jurnal berkualiti yang berpotensi diindeks ke ISI.
ESCI dikendalikan oleh Thomson Reuters dan jurnal yang diindeks ke ESCI belum bertaraf ISI namun menujukkan kualiti dan potensi cukup tinggi untuk diindeks ke ISI sebagai langkah seterusnya.
“AAMJAF diindeks ke Scopus pada tahun 2009 juga melalui percubaan pertama dan sehingga kini kita mendapat penyertaan artikel yang cukup memberangsangkan dari ahli-ahli akademik di negara ini.
“Paling membanggakan walaupun masih belum berada dalam kelompok ISI, banyak maklumbalas yang diterima mengatakan kualiti artikel dalam AAMJAF adalah setaraf dengan ISI, dan ia membuatkan kita yakin misi seterusnya adalah untuk menempatkan diri dalam kelompok ISI,” ujarnya.
Tersenarai dalam kategori Potential Journal, Ketua Editor MJMS, Jafri Malin pula menegaskan pihaknya komited untuk meneruskan kecemerlangan dalam penerbitan dan berharap ia disertai dengan satu pasukan kerja yang komited dan berupaya mendepani kriteria tinggi yang diperlukan.
“Untuk memastikan kelangsungan penerbitan sesebuah jurnal yang bertaraf antarabangsa dan diindeks ke ISI misalnya, ia memerlukan komitmen jitu oleh semua pihak termasuk editorial, penerbit, penyumbang artikel dan sebagainya,” ujar beliau.
Bagi Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad pula, pengiktirafan ini adalah satu insentif kepada semua yang telah bekerja kuat dalam penghasilan jurnal ini dan berharap suatu masa nanti akan disenaraikan dalam ISI berbanding SCOPUS pada masa ini.
Dalam pada itu, Program Pemberian Taraf CREAM yang diperkenalkan KPT adalah sebagai insentif bagi menggalakkan penulisan dan penerbitan hasil penyelidikan sarjana tempatan dalam jurnal yang berwibawa, berpengaruh dan terkemuka di persada antarabangsa.
Ia juga adalah pengiktirafan berbentuk pemberian Skim Galakan Penerbitan kepada jurnal tempatan hasil daripada aktiviti penyelidikan semasa dan bermatlamat dalam memperkasakan jurnal tempatan agar dapat diindeks dalam pangkalan data jurnal antarabangsa seperti WoS atau Scopus, selain memastikan jurnal yang sudah diindeks kekal berada di dalam pangkalan data serta meningkatkan impak sitasinya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1506