3 SAINTIS USM TERIMA ANUGERAH MALAYSIA’S RISING STAR AWARD DAN 6 JURNAL TERIMA PENGIKTIRAFAN TARAF CREAM KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA
PUTRAJAYA, 1 November 2016 – Tiga orang saintis Universiti Sains Malaysia (USM) menerima Malaysia’s Rising Star Award di samping 6 Jurnal terbitan Penerbit USM menerima taraf CREAM Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dalam majlis penyampaian oleh Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh di Hotel Marriott Putrajaya hari ini.
Yang menerima Malaysia’s Rising Star Award ialah Profesor Dr. Wan Saime Wan Ngah dari Pusat Pengajian Sains Kimia untuk Malaysia’s Rising Star Award (Clarivate Analytics) kategori Highly Cited Review; Profesor Dr. Lee Keat Teong dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia untuk Malaysia’s Rising Star Award (Clarivate Analytics) kategori Young Researcher dan Profesor Dr. Bassim H. Hameed juga dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia sebagai pengiktirafan kepada penyelidik oleh Pihak Clarivate Analytics: Malaysia’s Highly Cited Researchers Named Amongst the World’s Most Influential Scientific Minds 2015.
Clarivate Analytics dahulunya adalah dikenali sebagai IP & Science Business of Thomson Reuters.
Sementara itu, 6 jurnal terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia dipilih menerima pengiktirafan dalam Program Pemberian Taraf CREAM oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pada majlis yang sama.
Menurut Pengarah Penerbit USM, Akhiar Salleh pengiktirafan ini adalah sebagai galakan untuk membantu usaha meningkatkan kualiti penyelidikan dan penerbitan jurnal ilmiah di Malaysia melibatkan pelbagai penerbit jurnal di Malaysia.
“Penerbit sentiasa melakukan penambahbaikan dalam penerbitan jurnal dari segi menepati tarikh terbit, memastikan kualiti makalah yang dipilih melalui semua proses penilaian yang rapi, menerbitkan jurnal yang menepati piawaian antarabangsa, dan meningkatkan nilai tambah penerbitan menggunakan kaedah penerbitan terkini. Selain itu, penggunaan teknologi seperti Search Engine Optimisation dimanfaatkan untuk meningkat keternampakan (visibility) jurnal,” katanya.
Tambah Akhiar, di Malaysia hanya jurnal terbitan Penerbit USM yang menerbitkan jurnal dalam format ePub selain format pdf untuk akses secara online.
Jurnal terbitan Penerbit USM tersebut ialah Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society (Ketua Sidang Pengarang: Profesor Dato’ Dr. Rosihan M. Ali) kategori Jurnal dalam Web of Science, Asian Academy of Management Journal of Accounting and Finance (Ketua Sidang Pengarang: Profesor Dato’ Dr. Ruhani Ali) dan International Journal of Asia-Pacific Studies (Ketua Sidang Pengarang: Profesor Dr. Ooi Keat Gin) untuk kategori Jurnal dalam SCOPUS manakala Journal of Construction in Developing Countries (Ketua Sidang Pengarang: Profesor Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz), Journal of Physical Sciences (Ketua Sidang Pengarang: Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad) dan dan Malaysian Journal of Medical Sciences (Ketua Sidang Pengarang: Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah) untuk Kategori Jurnal Berpotensi.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1649