SISWAZAH PERLU JUNJUNG INTEGRITI DAN AKAUNTABILITI
USM, PULAU PINANG, 28 Oktober 2016 – Para siswazah yang telah berjaya mengecap kejayaan di menara ilmu diharap terus cemerlang dan menjunjung tinggi integriti dan akauntabiliti, amanah serta tanggungjawab yang dipikul.
Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Mustafa Mansur berkata, dalam membina masa hadapan, perkara yang paling utama ialah membangunkan strategi yang betul untuk mengorak langkah dan mencapai kejayaan seterusnya.
“Rancang dan rebutlah peluang, terus belajar dan terus berusaha serta jauhi nilai-nilai buruk yang boleh merosakkan masa hadapan. Saya fikir, satu persamaan dalam kalangan semua yang berjaya ialah kesungguhan mereka untuk mencapainya dengan melihat peluang yang terbuka luas dalam dunia merentasi sempadan.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 773 orang siswazah Kejuruteraan, Sains dan Sastera dalam sidang ketujuh Upacara Konvokesyen Ke-54 USM di sini baru-baru ini.
Beliau turut menyarankan agar siswazah merantau merentasi sempadan negara untuk menimba pengalaman, selain menyemai sifat suka membaca untuk menjadi individu yang hebat.
“Para siswazah wajar banyak membaca buku yang dapat membantu membuka set minda untuk menghadapi cabaran masa hadapan, di samping menghadapi pengalaman dalam kerjaya dengan kekuatan semangat yang tinggi.
“Antaranya termasuklah buku klasik seperti The Art of War oleh Sun Tzu yang terdapat banyak dalam pasaran, terutamanya sebagai menghadapi persediaan dalam dunia ekonomi global yang sering berubah,” katanya lagi.
Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1040