SISWAZAH USM DISERU BERDIKARI DAN BUKTIKAN KEMAMPUAN DIRI
USM, PULAU PINANG, 26 Oktober 2016 – Siswazah Universiti Sains Malaysia (USM) seharusnya mampu berdikari terutamanya dalam mewujudkan peluang baharu pekerjaan dan bukan hanya bergantung kepada orang lain.
Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, para siswazah sepatutnya menggunakan ilmu di dada untuk menjadi “job creators” yang mampu menggajikan orang daripada hanya mampu menerima gaji.
“Dengan perkembangan dasar ekonomi digital, para siswazah boleh memasuki pasaran kerja dan berada dalam sektor-sektor strategik bukan sahaja di negara ini, malah juga di seluruh Negara ASEAN dan juga di dunia,” kata Asma.
Menurut beliau, USM menyediakan siswazah dengan ilmu untuk berfikiran kritikal dan menjadi penyelesai masalah yang dikagumi namun mereka juga perlu fleksibel dan pandai menyesuaikan diri dengan mengadaptasi diri mengikut keperluan masa hadapan.
“Cabaran abad ke-21 bagi universiti juga amat getir untuk menyediakan siswazah yang sesuai dengan keperluan dunia pada masa kini dan untuk hari esok,” tegas Asma.
Berucap kepada 832 orang siswazah Ekonomi, Kerja Sosial, Perakaunan dan Pengurusan yang menerima ijazah pada Sidang Kelima Upacara Konvokesyen Ke-54 USM, beliau berharap yang mereka juga telah bersedia dan berjaya untuk memasuki dunia pekerjaan dengan berbekalkan kemahiran terutamanya dalam berkomunikasi, kemampuan menyelesai masalah dan kematangan yang dicapai dan ditingkatkan hasil pendedahan ketika berbakti kepada masyarakat, penyertaan dalam projek kesukarelawanan yang diusahakan dan aktiviti lain yang pernah diikuti semasa di kampus.
“USM berusaha menyediakan pelajar yang holistik dan seimbang, mengadunkan dengan keunikan nilai-nilai sains dalam sastera dan sastera dalam sains melalui pelbagai usaha tanpa membezakan kepentingan kedua-duanya dalam membina roh keilmuannya,” tegas Naib Canselor lagi.
Jelas beliau, di USM proses integrasi ilmu sains dan sastera, seni budaya dan kerja sosial telah berjalan dengan cukup baik merentasi kelainan dan perbezaan untuk seseorang terokai dalam menghadapi masa hadapan yang mencabar.
Ijazah-ijazah disampaikan oleh Pro Canselor Tan Sri Dr. M. Jegathesan kepada para siswazah Sidang Kelima ini.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1261