KOMITMEN DAN FOKUS PEMBELAJARAN BERSAMA KUNCI DUA BERADIK STAF USM BERGRADUASI
USM, PULAU PINANG, 26 Oktober 2016 - Komitmen jitu, pengorbanan, faham-memahami, sifat rendah diri dan berusaha bersungguh-sungguh dalam pendidikan adalah antara resepi kejayan buat dua staf Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Khusaini Jamaluddin, 35, dan Alfenddi Jamaluddin, 33, yang bergraduasi hari ini masing-masing dalam jurusan Pengurusan.
Menurut Khusaini yang bertugas di Pusat Pengetahuan Komputer dan Teknologi (PPKT), kejayaan bukan mudah dikecapi, tetapi dengan pembahagian tugasan di pejabat ditambah dengan pembahagian masa dengan pelajaran yang lebih efisyen dan efektif adalah sebab utama kami dua beradik menggenggam ijazah pada hari ini.
"Galakan bekerjasama antara kami dua beradik dengan menggunakan kaedah yang mudah iaitu apabila pulang dari kerja, kami berjumpa di tempat-tempat tertentu dan berbincang mengenai penyelesaian masalah berkaitan pelajaran," katanya.
Tambahnya, perancangan untuk maju dalam kehidupan ini juga bertitik-tolak dengan bimbingan adik kandung dan adik iparnya yang kini sedang belajar di USM dan dalam membina laluan kerjaya yang cemerlang, bidang Pengurusan antara jurusan yang dapat menambahkan ilmu dalam membina kerjaya untuk kehidupan.
Sementara itu, adik Khusaini, Alfenddi yang bertugas sebagai Pembantu Makmal di Pusat Pengajian Teknologi Industri pula berkata, usah malu, bersifat rendah diri dan pangkat perlu diletak di tepi buat sementara dalam berhubung untuk menuntut ilmu dengan individu tanpa mengira dengan siapa ilmu itu dituntut.
"Sejak tahun pertama mendaftar, kami berdua telah mula menubuhkan kumpulan untuk belajar dan sentiasa bersama dalam perkara ini serta komitmen yang tinggi diperlukan untuk berada di mana kami berada pada hari ini," jelasnya.
Kedua beradik ini telah berkahwin dan masing-masing mempunyai 2 orang cahaya mata dan mereka berdua juga graduan Diploma Pentadbiran Awam (Pendidikan Jarah Jauh) di UiTM Merbok pada 2007, dan Khusaini mula bertugas di USM pada 2002 manakala Alfenddi pada 2004.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1344