SUBURKAN BUDAYA MEMBERI, TITAH CANSELOR USM
PULAU PINANG, 24 Oktober 2016 – Di samping berusaha dalam pembangunan akademik dan penyelidikan, perhatian perlu diberi kepada rakyat yang dalam kesusahan.
“Masing-masing ada bermacam-macam kesusahan tersendiri sama ada masalah kewangan, masalah kesihatan, masalah keluarga atau sebagainya yang semuanya memerlukan bantuan daripada pihak yang lain yang lebih malang lagi, jika mereka ini tidak tahu arah tuju hendak meminta bantuan,” titah Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dalam Majlis Santapan Malam Amal Yayasan USM di sini malam tadi.
Kerana itu baginda menekankan terhadap betapa pentingnya menyuburkan budaya memberi atau berkongsi dalam kalangan masyarakat.
“Saya menyeru semua pihak mengambil bahagian dan tanggungjawab ini sama ada melalui USM, persatuan atau pertubuhan sukarela (NGO) atau secara persendirian untuk mendekati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya percaya jika budaya ini dapat disuburkan seawal mungkin, sejak kanak-kanak, remaja dan ke peringkat yang lebih tinggi, maka kita mampu lakukan sesuatu perubahan apatah lagi budaya memberi dan berkongsi ini adalah lambang kesyukuran terhadap nikmat yang diperolehi selama ini,” tegas DYMM Raja Perlis itu.
Tambah baginda, Yayasan USM berupaya menjana kewangan yang lebih besar jika lebih banyak pihak membantu terutamanya para alumni dengan bilangannya yang besar termasuk yang telah berjaya serta melalui rangkaian hubungan yang luas serta kepakaran yang pelbagai untuk dimanfaatkan.
“Dengan usaha dan perancangan yang betul, saya yakin Yayasan USM mampu mengumpul dana yang lebih besar untuk mengisi pelbagai tabung yang ada.
“Begitu juga dengan warga kerja dan mereka yang telah mengukir kejayaan di USM selama ini yang jika setiap seorang daripada mereka kembali membantu dan memberikan sumbangan walaupun dengan jumlah yang kecil, akhirnya jumlah yang terkumpul adalah besar dan bermakna untuk kegunaan Yayasan USM,” titah baginda.
Yang berangkat sama pada majlis tersebut ialah Raja Perempuan Perlis DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid.
Antara kenamaan yang turut hadir dalam majlis yang bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan USM itu ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Abdul Rahman Haji Abbas, isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor Shariff, Speaker Dewan Undangan Perlis Dato’ Hamdan Bahari, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Dr. M. Jegathesan, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 804