GRADUAN PERLU BERSEDIA HADAPI CABARAN MASA HADAPAN, TITAH CANSELOR USM
USM, PULAU PINANG, 24 Oktober 2016 - Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail hari ini bertitah menyeru para graduan bersiap sedia untuk menyahut cabaran kepimpinan pada masa hadapan.
“Ilmu haruslah terus dipelajari seluas-luasnya supaya setiap pandangan dan keputusan yang diambil adalah bijak, bernas, dan mewakili kepentingan umum.
Nilai-nilai integriti dan syariat agama haruslah menjadi jati diri pada setiap masa dan melalui perbincangan duduk semeja dan pendekatan yang harmoni dengan semua pihak agar rakyat akan bersatu padu dan sama-sama bekerja ke arah mencapai negara Malaysia yang maju dan sejahtera,” titah baginda kepada 275 orang graduan yang menerima ijazah pada Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-54 di sini.
DYMM Tuanku Raja Perlis itu juga turut bertitah berpesan agar para graduan tidak melupakan pengorbanan ibu dan bapa masing-masing serta tunjuk ajar daripada warga pendidik serta kembali memberi sumbangan balas kepada USM setelah mencapai kejayaan.
Baginda turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Presiden dan Ketua Operasi Toray Industries Inc. Dato’ Akkihiro Nikkaku tanpa hadir dan berharap agar USM akan terus mengenal pasti kerjasama yang strategik dengan industri sama ada di dalam mahu pun di luar negara bagi mendapatkan pemindahan teknologi yang maju serta meningkatkan kualiti graduan USM bagi menghadapi pasaran kerja yang dinamik seperti mana kejayaan kerjasama USM dengan Toray selama ini.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1147