HIJRAH SATU KEPERLUAN PENAMBAHBAIKAN DIRI
KUBANG KERIAN, 19 Oktober 2016 - Hijrah merupakan satu keperluan dalam kehidupan untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian sedia ada.
Demikian kata penerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah, Hj Yusoff Abdullah, bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional sempena Sambutan Maal Hijrah 1438H Peringkat Universiti Sains Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.
Beliau yang juga Timbalan Pendaftar Kanan Universiti Sains Malaysia, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan USM menzahirkan kesyukuran di atas anugerah yang diterima.
"Sememangnya saya tidak menyangka untuk menerima anugerah ini, kerana saya bekerja atas dasar tangunggjawab dan amanah yang diberikan tanpa mengharapkan balasan namun begitu saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana universiti telah memberi pengiktrafan terhadap sumbangan saya kepada selama ini," katanya.
Tambah Yusoff, dalam konteks bekerja, kakitangan awam daripada pelbagai peringkat perlu menerima konsep hijrah dengan hati yang terbuka terutama kepada mereka yang bertukar tempat bertugas.
"Konsep hijrah ini perlu diterima baik dan mereka perlu berfikiran positif dengan menggunakan peluang ini sebaik mungkin dalam menimba ilmu dan menambah pengalaman baharu," katanya lagi.
Harapan saya kepada semua pegawai tadbir yang lain, kita perlu menghargai tanggungjawab yang diberikan oleh universiti, sekiranya kita telah diberi sesuatu jawatan, ia datang dengan satu tanggungjawab dan amanah, jadi kita kena menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh keikhlasan, dan berintegriti.
"Pucuk pimpinan sesebuah universiti akan sentiasa berubah dan sebagai penjawat awam di universiti, kita perlu melakukan tugasan dan tanggungjawab sejajar dengan visi dan misi yang digariskan pemimpin baharu," ujar beliau.
Menurut Yusoff, konsep hijrah bukan hanya apabila tiba maal hijrah sahaja, tapi perlu dilaksanakan setiap masa untuk penambahbaikan, melaksanakan perkongsian yang ada bersama staf lain supaya ia boleh dimanfaatkan dengan baik dan ilmu tersebut tidak hilang begitu sahaja.
Hijrah satu perkara yang perlu dalam hidup kita, terimalah hijrah ini dengan semangat yang baru dan hati yang terbuka untuk mendapat pengetahuan baru dan percayalah perancangan Allah adalah yang terbaik buat kita.
Teks: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 1252