USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUBUR ASYURA ERATKAN UKHWAH WARGA KAMPUS

Asyura DSC3039

NIBONG TEBAL, 18 Oktober 2016 - Program bubur asyura anjuran Jawatankuasa Maal Hijrah di bawah naungan Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan berjaya eratkan ukhwah warga kampus.Menurut Pengerusi Program, Prof. Madya Dr. Roslan Ahmad, sebanyak sembilan kawah bubur asyura berjaya dimasak secara bergotong-royong di sini hari ini.

"Program ini diadakan, sebenarnya bertujuan untuk mengeratkan ukhwah dalam kalangan staf dan masyarakat kampus," katanya.

Menurut beliau, walaupun banyak amalan yang dituntut dilaksanakan dalam bulan muharam tetapi tegasnya apa yang lebih penting adalah merapatkan hubungan antara staf di samping jamuan yang disediakan.

Asyura DSC3050

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada jabatan dan individu yang menyumbang dalam menjayakan program bubur asyura pada tahun ini," tambahnya.

"Saya juga berharap agar lebih ramai penglibatan dalam kalangan staf yang baharu untuk turut serta bukan sahaja dalam program bubur asyura malah program-program lain yang dianjurkan oleh Pusat Islam pada masa depan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Unit Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Muhammad Shukri Osman berkata, program tersebut merupakan antara program tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Islam untuk menyuburkan sifat kerjasama dan bergotong-royong.

“Semoga program seperti ini dapat menyuburkan nilai kemasyarakatan dan kebersamaan yang sangat dituntut dalam ajaran Islam,” jelasnya.

Asyura DSC3054

Selain itu, turut menjadi kelainan pada kali ini adalah penggunaan mesin adunan dodol yang dicipta khas oleh pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Dr. Ahmad Faizul Hawary di bawah pembiayaan geran Public Private Research Network (PPRN).

Hasil kajian yang dibuat, mesin ini dijangka dapat memendekkan masa memasak sebanyak 25%, daripada 7 jam normal hingga 5 jam sahaja. Ini dicapai dengan meningkatkan kecekapan suhu dalam kebuk haba dan ini bermakna jumlah atau penggunaan tenaga gas memasak akan berkurangan.

Asyura DSC3131

Sebanyak 1,000 bungkus bubur asyura berjaya disiapkan dan diedarkan kepada jemaah yang hadir serta kepada warga kampus.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

  • Created on .
  • Hits: 1657

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024