USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT E-REZEKI USM PULAU PINANG GONDOL 3 ANUGERAH E-REZEKI (GHIP)

1476693347798

PULAU PINANG, 18 Oktober 2016 - Pusat E-Rezeki USM (USM Centre) Pulau Pinang telah menggondol 3 anugerah dari 5 yang dipertandingkan untuk Program E-Rezeki Global High Income Programme (GHIP) yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan rakyat tertentu melalui kaedah digital ataupun atas talian (online) dan dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pusat USM memperolehi 3 anugerah masing-masing iaitu Best Video for e-Rezeki  Global High Income Programme, Apprentice with Most Job Earned (Siti Munirah Abdul Malik) dan The Overall High Achiever & USM’s High Achiever (Mohd Hatta Mahat) dalam majlis penyampaian anugerah di Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Mohd Hatta yang mendapat Anugerah Pencapaian Tertinggi Keseluruhan, beliau bersyukur dengan kejayaan ini kerana program ini melatih beliau menjadi apprentice (pelatih) dalam bidang rekabentuk, IT, pembangun laman sesawang, kemasukan data dan terjemahan yang telah memberinya kejayaan sehingga memperoleh pendapatan lumayan dalam tempoh 3 bulan program.

“Program ini amat bermanfaat kepada para belia di luar sana yang ingin meningkatkan pendapatan dan program yang telah dilaksanakan selama 3 bulan ini amatlah berjaya,” jelas Alumni USM dari Pusat Pengajian Seni yang merupakan kumpulan pertama program ini.

Sementara itu, bagi Siti Munirah pula, program ini telah membuktikan internet bukan sahaja alat untuk bersosial malah boleh menjadi lubuk mencari rezeki.

“Sebenarnya, agak sukar untuk memulakan langkah menggunakan platform digital ini dengan sendiri untuk mencari pekerjaan, namun melalui program 3 bulan ini, saya telah diajar untuk menggunakan platform digital tersebut semaksimum yang mungkin, membida kerja, bersaing dengan negara-negara lain seterusnya berjaya mendapatkan kerja-kerja digital ini,” jelasnya.

Tambahnya, beliau telah berjaya mendapat kerja berkaitan terjemahan yang berjumlah besar sehingga 550 USD dan beberapa projek yang berbentuk kontrak dan akan dibayar setiap bulan tambahan ilmu ini semua diperolehi dari bimbingan jurulatih yang berpengalaman beserta modul-modul serta tips yang efektif.

Setiap peserta akan diberi latihan untuk melakukan tugasan digital yang bersesuaian dan menjadi sebahagian tenaga kerja digital yang berdaya saing di peringkat global dan program ini selari dengan salah satu halatuju PPA dalam meningkatkan kebolehpasaran 'employability' graduan USM melalui libatsama dan sumbangan Alumni.

Seramai 35 orang dari bidang teknologi maklumat, seni grafik dan terjemahan telah terpilih sebagai peserta untuk program kali ini.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1306

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024