USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AIR BUKIT BERTAPIS: USM BANTU PENDUDUK PEDALAMAN AIR SUNGAI SIMPUL

EAM 2207

SELAMA, PERAK, 15 Oktober 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasa program komuniti dengan kejayaan terbinanya Empangan Mini dan Rumah Penuras Kasar bagi saluran air bersih untuk penduduk pedalaman Kampung Air Sungai Simpul, Sungai Jernih, Selama, Perak.

'Pilot Project: Water For Life' Kampung Air Sungai Simpul, Sungai Jernih, Selama Perak dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Selama, Perak ini berjaya menyalurkan kemudahan air bersih kepada 48 buah rumah dengan jumlah 202 isirumah.

Projek yang menelan kos sebanyak RM130,000 itu mengambil hanya 23 hari untuk disiapkan sebelum air bersih dapat disalurkan kepada isirumah berkenaan.

EAM 2232

EAM 2280

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato' Seri Hj. Hamzah Zainudin berkata, ini merupakan usaha murni yang dilaksanakan oleh USM dalam memperkasa serta memudahkan kehidupan golongan terkebawah.

"Saya yakin usaha yang dilakukan oleh USM amat memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk kampung ini apatah lagi mereka bakal menikmati sumber air yang bersih," kata Ahli Parlimen Larut itu merasmikan tapak rumah penuras kasar dan empangan mini hasil teknologi ciptaan USM di kampung tersebut hari ini.

EAM 2303

Yang turut hadir ialah Pengarah Pejabat Kolaborasi Komuniti dan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM, Syed Yusof Syed Kechik; Timbalan Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Kemajuan Bandar dan Wilayah, Dato' Dr. Ahmad Jailani Muhamad Yunus; Pengerusi Persatuan Pengguna Air Kampung Air Sungai Simpul, Hamzah Bin Awang Lembik; pegawai-pegawai utama USM dan Pejabat Daerah dan Tanah Selama.

EAM 2276

Tambahnya lagi, atas kejayaan USM melaksanakan projek ini, beliau akan memastikan penduduk kampung lain sekitarnya juga bakal menikmati kemudahan ini.

EAM 2311

"Saya berharap USM dapat membantu menyalurkan kepakaran dan teknologi kepada kawasan lain dengan peruntukan khas yang akan diusahakan bagi melicinkan proses demikian," katanya.

Syed Yusof Syed Kechik pula berkata, projek komuniti sebegini merupakan kali ketiga dilaksana USM melalui konsep berpasukan dan kesukarelawanan.

"Pihak USM telah menjalankan projek sebelum ini di kampung orang asli Langkor dan Sungai Siput, ini merupakan projek pertama perkampungan pedalaman Melayu bagi tujuan itu," katanya.

Penyelidikan menggunakan medium batu kapur ini telah lama dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang diketuai Prof. Dr. Mohd. Nordin Adlan yang turut memperolehi beberapa pengiktirafan antarabangsa.

Kepakaran Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, USM yang telah menyalurkan air bersih sedemikian di Sungai Siput dan perkampungan orang asli Kampung Langkor menjadi titik tolak kepada kejayaan projek di sini.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1868

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024