USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MPS BERJALAN LANCAR DI KAMPUS KEJURUTERAAN

MPS DSC2680

NIBONG TEBAL, 13 Oktober 2016 – Majlis Pemilihan Siswa (MPS) Sidang 2016/2017 yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 Oktober 2016  bagi merebut kerusi Pusat Pengajian Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) berjalan lancar dengan proses pemilihan undi yang berlangsung di sini hari ini.

Penolong Naib Canselor yang juga Pengarah Kampus, Professor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, apa yang penting dalam Majlis Pemilihan Siswa adalah kerjasama dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh calon-calon yang bertanding.

MPS DSC2684

“Ini adalah budaya demokrasi yang pihak universiti ingin tanam dalam diri setiap calon dan seluruh mahasiswa terutamanya bagi Kampus Kejuruteraan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada mantan MPP yang bekerja keras dalam memastikan perjalanan proses pencalonan dan pengundian berlangsung dalam suasana yang harmoni dan baik.

“Saya yakin calon-calon yang dipilih ini mampu menggalas tugas yang diamanahkan dan dapat bergerak selari dengan aspirasi Universiti yang bukan sahaja untuk memastikan pelajar-pelajar USM berjaya dengan cemerlang dalam akademik dan juga setiap bidang yang diceburi,” tambahnya.

MPS DSC2711

MPS DSC2722

Tegasnya, beliau akan berjumpa dengan semua pemimpin-pemimpin pelajar yang baharu dilantik ini dalam masa terdekat bagi merangka strategi dan membincangkan isu berbangkit demi memastikan keperluan dan kesejahteraan pelajar terjamin.

Pemenang kerusi konstituensi umum, Ahmad Nabil Mohd Nizom, pelajar tahun dua, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa menyifatkan kemenangan beliau merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama dan setiap perkara yang dilakukan sepatutnya dipandang relevan dalam masa jangka panjang.

“Impian saya sejak dari mula sehingga tamat proses pemilihan ini adalah untuk memastikan mahasiswa diberikan hak sama rata tanpa mengira kaum, agama dan ideologi masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan hari ini.

“Saya memang berbangga dengan kemenangan ini, tetapi bukan disebabkan dinaikkan di mata orang sebaliknya dipilih oleh Allah SWT dengan membawa amanah sebagai ujian kepada hambanya,” tambahnya lagi.

MPS DSC2762

Sementara itu, pemenang konstituensi Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa yang juga pelajar tahun dua, Chan Ze Yu pula menyifatkan kemenangan beliau bukan sekadar kebanggaan malah ia merupakan suatu perjalanan yang tidak mudah dan memerlukan kesungguhan dalam merealisasikan manifesto yang dibawa.

“Bagi saya, perkara pertama yang perlu direalisasikan adalah tiga manifesto yang dijanjikan untuk dicapai demi kualiti dan pencapaian Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa terjamin,” jelasnya.

Menurutnya, tiga manifesto yang dibawa adalah kemudahan, kerohanian dan kerjaya tanpa mengira persepsi yang berbeza untuk menaikkan taraf Pusat Pengajian khususnya dan Universiti amnya. 

“Ini merupakan pengalaman yang tidak diperolehi oleh orang lain dan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan persediaan mental dan fizikal yang mantap,” katanya lagi.

Turut bersetuju dan bersependapat dengan Chan adalah pemenang konstituensi Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Mohd Hafiz Abd Halim, yang berkata perkara penting yang perlu dilaksanakan selepas kemenangan ini adalah untuk meneruskan dan memastikan setiap manifesto yang dibawa berjaya dilaksanakan demi kepentingan pelajar.

“Saya sangat teruja dan mengucapkan tahniah kepada pengurusan Universiti yang telah memperkenalkan sistem baharu iaitu e-pilih bagi proses pemilihan tahun ini yang mempunyai tahap ketelusan yang tinggi, tepat, cepat dan berkesan,” katanya.

Majlis Pemilihan Siswa pada tahun ini memperlihatkan sebanyak 76.66% pelajar keluar mengundi calon pilihan mereka melalui sistem ini dengan menyaksikan pertandingan satu kerusi konstituensi umum, enam konstituensi pusat pengajian dan satu kerusi Institut Pengajian Siswazah (IPS) dengan 19.25%.

Proses pengundian turut dijalankan serentak di ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan termasuk Kampus Belgaum, India.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

  • Created on .
  • Hits: 999

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024