AWESOME NIGHT IMBAU KEMBALI KENANGAN ALUMNI USM
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2016 - Kampus Minden 45 tahun lalu banyak mencipta tradisinya tersendiri, sesetengah dilupai dini hari dengan antara kepelbagaian serta kemesraan antara satu sama lain serta alam sekitarnya.
Demikian kata Presiden Persatuan Alumni USM, Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak dalam Majlis Makan Malam Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia – AUSM Awesome Night malam tadi.
Katanya, Kampus USM bukan sahaja mesra dengan kehijauannya, tetapi mesra juga dengan insan, dengan jalinan erat persahabatan tanpa mengira kaum, budaya, agama dan pendek kata Kampus USM adalah tapak benih yang memupuk dan memberi makna kepada apa itu USM, yang sebelum itu dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang.
"Pada malam ini kita mengenang kembali semua ini bukan semata-mata satu nostalgia; lebih penting lagi sebagai satu detik persaudaraan yang berkongsi nilai dan pengharapan untuk masa hadapan yang lebih cemerlang," jelasnya.
Dzulkifli juga berharap semua cerita dan pengalaman lama yang gembira akan menjelma semula dalam memupuk ikatan mesra berpanjangan dalam kalangan semua alumni tidak kira di mana mereka berada.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail pula memberitahu, kembalilah ke USM kerana USM mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama alumni untuk bersama-sama membangunkan Universiti sebagai rakan kongsi dan pemegang taruh (stakeholders) yang boleh memberi nilai tambah kepada USM.
"Saya gembira kerana dapat bertemu muka dengan para alumni sekalian, yang sangat awesome dan berharap agar kita akan dapat bersama-sama membawa USM terus ke hadapan menjadi yang tersohor dalam tradisi Kami Memimpin," katanya.
Tambah Asma, pihak USM terbuka untuk menerima sumbangsaran, buah fikiran dan kritikan membina daripada alumni demi pembangunan universiti. Kepimpinan dan perubahan yang dilakukan bukan hanya untuk kejayaan individu tetapi perlulah bermanfaat untuk bangsa, agama dan negara kita.
"Saya juga percaya penganjuran aktiviti-aktiviti yang relevan dalam Persatuan Alumni USM dapat merapatkan hubungan sesama alumni dan juga menguatkan rasa sayang antara alumni dengan USM.
"Antara peranan penting Persatuan Alumni ialah sebagai platform untuk saling bekerjasama dan saling melengkapi antara generasi dan alumni senior boleh membantu berkongsi pengalaman dan ilmu, menjadi mentor dan membuka peluang kepada alumni junior untuk maju dalam kerjaya," jelas lanjutnya.
Tegasnya, alumni muda yang bertenaga muda dan penuh dengan idea-idea yang segar perlu memainkan peranan bersama-sama menggerakkan Persatuan Alumni ke arah mencapai visi dan misi dan seterusnya menyumbang kepada universiti.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Syed Putra Jamalullail, Canselor USM dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis berangkat dalam majlis yang dihadiri oleh lebih 500 orang alumni USM ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh dan To’ Puan Seri Hajah Che Kamariah binti Zakaria yang kedua-duanya adalah alumni USM, Pro Canselor USM dan Penaung Persatuan Alumni USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Puan Sri Datin Anita Aqeela Hiong, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Puan Sri Norida Nachara Hamat, isteri Dzulkifli Puan Sri Masrah Haji Abidin dan suami Asma Profesor Dr. Ahmad Zakaria.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1805