USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AMANAH SEBAGAI BUDAYA BANGSA MALAYSIA - DR. CHANDRA MUZAFFAR

IMG 0221

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2016 - Sebagai seorang alumni, tidak kira peranan dan darjat, kita perlulah menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan diharapkan bukan jawatan atau gelaran yang digahkan akan tetapi yang penting ialah cara kita melaksanakan tanggungjawab serta komitmen kepada tugasan serta ketaatan kepada amanah yang diberikan.Demikian ujar Tokoh Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Chandra Muzaffar yang menegaskan bahawa dunia akan berada dalam keadaan aman serta adil apabila semua umatnya berakhlak.

Chandra memberi ucapan mewakili tokoh-tokoh alumni lain yang menerima anugerah dalam Majlis Makan Malam Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia – AUSM Awesome Night - kelmarin yang dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Canselor Universiti Sains Malaysia dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis.

IMG 0306

Menurut Chandra, sebahagian besar masalah manusia kini adalah kegagalan dalam mendukung amanah kerana semakin tinggi kedudukan seseorang itu, semakin berat aspek nilai amanah yang ditanggung.

"Universiti sebagai sebuah institusi pendidikan perulah memainkan peranan dalam pembangunan negara dan perlu amanah dalam setiap tindak-tanduknya serta begitu juga dengan institusi kekeluargaan yang perlu memainkan peranan yang sama," jelas Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) ini.

Tambahnya, keutamaan perlu dititikberatkan dalam aspek amanah dalam kehidupan seharian dan mendahulukan amanah merupakan suatu cabaran buat semua para alumni yang juga merupakan aset buat masyarakat.

KLCC

Selain Chandra, turut menerima anugerah Tokoh Alumni USM adalah Datuk Dr. Zurinah Hassan yang merupakan sasterawan wanita pertama dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara, seorang penulis dan penyair dan Pemenang Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Buku Perpustakaan Negara.

Tan Sri Dr. Madinah Mohamad yang merupakan mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam sejak 1981 di pelbagai kementerian dan badan antarabangsa (UNESCO), Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang merupakan mantan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kishva Ambigapathy iaitu Pengerusi Majlis Belia Komanwel bagi tahun 2015-2017.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1428

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024